PUSAT Tenaga Rakyat (PUTERA) yang dipimpin oleh Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) bersama-sama dengan kerabat All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) atau Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu berjaya merangka dan mencadangkan ‘Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu’ bagi menggantikan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
PUTERA adalah gabungan parti yang terdiri Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam dan Mokhtaruddin Laso, Angkatan Pemuda Insaf (API) diketuai Ahmad Boestaman, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) pimpinan Shamsiah Fakeh, Gerakan Angkatan Muda (GERAM) yang diketuai oleh Abdul Aziz Ishak serta setiausahanya A. Samad Ismail, Parti Nasionalis Melayu (MNP) yang diasaskan oleh Dr. Burhanuddin Helmi, Kesatuan Tani dan 80 persatuan yang kecil.

Menurut B. Simandjuntak melalui bukunya Federalisme Tanah Melayu 1945-1963 (1985), dalam bulan April 1947, PUTERA dan AMCJA melantik sebuah jawatankuasa bagi merangka versi cadangan-cadangan perlembagaan mereka sendiri.
“Jawatankuasa itu menghasilkan sebuah dokumen yang disebut “Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu” dikemukakan dan diterima sebulat suara dalam dua persidangan penuh kedua-dua buah pertubuhan. Dokumen tersebut mengandungi ciri-ciri yang patut diberikan perhatian” (B. Simandjuntak 1985: 55).
10 asas Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu
* Sebuah Tanah Melayu yang bersatu mengandungi Singapura.
* Sultan-sultan Melayu akan mengisi kedudukan sebagai Raja berdaulat dan berperlembagaan, menerima nasihat bukan daripada Penasihat British tetapi daripada rakyat menerusi institusi-institusi demokratik.
* Hak kewarganegaraan yang sama bagi semua yang menjadikan Tanah Melayu sebagai tempat bermastautin dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi
* Hal ehwal melibatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu harus berada di bawah kuasa Melayu semata-mata.
* Perhatian khusus harus diberikan terhadap kemajuan ekonomi dan sosial orang Melayu.
* Kerajaan yang berpemerintahan sendiri dan bertanggungjawab melalui dewan undangan pusat bagi seluruh Tanah Melayu mengisi jawatan menerusi pilihan raya di seluruh negara.
* Bahawa Bahasa Melayu harus dijadikan bahasa rasmi negara.
* Bahawa hal ehwal luar negeri dan pertahanan negara menjadi tanggungjawab bersama kerajaan Tanah Melayu dan kerajaan Baginda Ratu British.
* Bahawa istilah ‘Melayu’ harus menjadi gelaran sebarang kewarganegaraan atau taraf nasional di Tanah Melayu.
* Bahawa bendera kebangsaan harus menerapkan warna-warna kebangsaan Melayu, iaitu warna merah dan putih Indonesia.
Hartal SeMalaya diadakan
Seperti dijangka, kerajaan British menolak Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu yang dicadangkan oleh PUTERA-AMCJA. British bimbang kedudukannya akan terancam di Tanah Melayu jika menerima Perlembagaan Rakyat.
Oleh kerana British telah menutup pintu rundingan dengan mereka setelah Perlembagaan Persekutuan diterima oleh UMNO, Raja-raja Melayu dan Kerajaan British, maka AMCJA dan PUTERA-telah menganjurkan tindakan hartal pada 20 September 1947 yang meminta semua peniaga menutup kedai sebagai tanda bantahan terhadap Perlembagaan Persekutuan 1948.
B.Simandjuntak menyatakan bahawa 20 Oktober merupakan tarikh persidangan semula Parlimen British sengaja dipilih sebagai Hari Hartal SeMalaya oleh parti-parti Puak Kiri yang terdiri daripada Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang bergabung dengan parti-parti bukan Melayu All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) atau Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu.
Zainuddin Maidin dalam bukunya Di Depan Api Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu (2013) menyatakan protes besar-besaran tanpa keganasan ini diadakan dengan hanya menutup semua premis yang beroperasi seperti kilang, kedai, sekolah, pejabat dan ladang yang bermatlamat untuk mencetuskan ketidakakuran awam sebagai tanda protes terhadap British yang tidak mengendahkan kehendak rakyat majoriti.
“Tindakan itu disokong oleh Utusan Melayu dengan memberikan liputan meluas mengenainya kerana menganggapnya sebagai suatu perjuangan secara aman yang menunjukkan keupayaan politik rakyat untuk mencapai demokrasi , keadilan sosial dan kemanusiaan.
“Walaupun hanya di Singapura perniagaan terhenti tetapi sehari selepas tindakan itu Utusan Melayu telah menyiarkan berita di muka satunya yang mendakwa Hartal berjaya,” (Zainuddin Maidin 2013: 57).
Demikianlah fahaman politik antarabangsa, khususnya Revolusi Indonesia yang telah mencairkan pendirian Utusan Melayu dari kejatian dasar asal nasionalisme Melayu tetapi cenderung kepada sosialisme dan komunisme.
“Di belakangnya ialah A, Samad Ismail yang gigih, licin, pintar dan komited dalam peranannya mempengaruhi, menjiwai dan membentuk pemikiran dan sikap wartawan-wartawan Utusan Melayu bagi meneruskan perjuangan dalam semangat Perlembagaan Rakyat” (Zainuddin Maidin 2013: 63).
Kemuncaknya, British menangkap pemimpin PUTERA_AMCJA seperti Ahmad Boestamam, Abu Bakar Bakir dan Dr. Burhanuddin Helmy di bawah Undang-Undang Darurat 1948 kerana dikaitkan dengan kegiatan pengganas komunis.









