SHAH ALAM – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menemplak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa UMNO telah tiada dan tidak relevan lagi di negara ini.
Asyraf Wajdi berkata, sebaliknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipengerusi Mahathir sendiri tidak relevan apabila sudah tiada matlamat selepas berjaya menumbangkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Katanya, Bersatu juga gagal dalam mempertahankan isu melibatkan Islam dan Melayu terutama apabila Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan bahawa agenda ketuanan Melayu juga tidak relevan.
“Najib tidak ada dalam kepimpinan (UMNO) sekarang, adakah perjuangan Bersatu masih relevan sedangkan itu dalam dalam wawancara dengan Oxford Union juga turut maklumkan matlamat itu.
“Justeru, saya rasa mereka (Bersatu) boleh tutup parti sebab matlamat tercapai dan kembali ke pangkal jalan dengan menyertai UMNO,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Minda bersama beliau di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir dalam program sama pada 22 Oktober tahun lalu yang menyatakan bahawa UMNO telah tiada.
Asyraf memberitahu, Mahathir sebenarnya dalam keadaan terdesak kerana masa tidak menyebelahi beliau berikutan mengharapkan orang Melayu segera bertukar kepada Bersatu serta cawangan UMNO akan terbubar selepas PRU-14.
Ujar beliau, namun yang berlaku adalah apabila mereka yang keluar parti adalah dari pemimpin atasan UMNO sahaja.
“Bersatu sendiri menghadapi masalah menubuhkan cawangan di mana-mana negeri sehingga terpaksa mencari ahli di pasar tani.
“Berbeza dengan UMNO apabila tiada langsung daripada 23,000 cawangan parti dibubarkan dengan semangat ahli UMNO di akar umbi semakin kuat dan kukuh,” katanya. – K! ONLINE










