KANGAR 3 Jan. – Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menjelaskan penamatan jawatan 25 orang imam di negeri ini adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.
Jelasnya, kebanyakan imam yang diberhentikan itu adalah mereka yang sudah berumur antara 61 sehingga 88 tahun iaitu dilihat sudah tidak sesuai menggalas tanggungjawab tersebut.
Selain itu, katanya, turut terdapat imam yang menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik dan bermain elemen kepartian.
“Pada asasnya mereka yang sudah berumur 60 tahun akan ditamatkan perkhidmatan sebagai imam melainkan ada kelonggaran yang diberikan pihak majlis agama. Bukan pemberhentian tugas itu disebabkan baca doa qunut, selawat, zikir dan sebagainya.
“Saya cadangkan imam-imam ini (yang sudah berumur) bagi laluan kepada anak-anak muda Perlis seperti yang mengaji tahfiz untuk menjadi imam. Jangan beritahu tunggu mati dulu baru beri laluan kepada orang lain.
“Orang bagi peluang kita lama dah, kita pula beri peluang kepada orang lain. Isu ini (pemecatan imam) bukan besar mana pun. Ke arah menjadikan Perlis maju, masjid juga memerlukan tenaga muda,” katanya ketika memberi kuliah khas mengenai isu penamatan jawatan 25 orang imam di Masjid Alwi di sini, hari ini.
Sebuah portal online hari ini melaporkan seramai 25 orang imam kariah di Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuat kuasa Selasa lalu.
Surat yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bertarikh 31 Disember lalu itu, dilihat dibuat secara tergesa-gesa tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula 1 Januari 2019 sehingga tiada nombor rujukan surat diisi dalam kurungan pada bahagian atas surat berkenaan.
Bagaimanapun terdapat imam-imam ini mempertikaikan keputusan tersebut dan menuntut jabatan agama itu memberi penjelasan.
Malah imam-imam terbabit juga tidak menolak kemungkinan pemecatan tersebut adalah disebabkan mereka mengamalkan bacaan zikir selepas solat, doa qunut, bacaan Yasin pada malam Jumaat serta selawat ketika solat terawih.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, perkara-perkara seperti mengamalkan bacaan doa qunut, selawat atau sebagainya bukan menjadi punca mereka ditamatkan jawatan meskipun amalan itu tidak mengikut peraturan ditetapkan.
“Kita bukan buang imam tetapi menggantikan imam. Mereka juga selepas ini boleh memainkan peranan lain seperti ahli jawatankuasa masjid atau sebagainya selepas ini. Bukan perkara pelik dalam isu ini, Perdana Menteri pun ada yang diberhentikan,” katanya.- UTUSAN ONLINE










