PUTRAJAYA 4 Jan.- Sebanyak 961 bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bukan sahaja mendapat peluang penempatan kerja, tetapi juga pampasan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM23 juta sebagai pampasan kepada semua kakitangan terlibat.
Katanya, hanya 20 peratus daripada kesemua bekas pekerja masih belum mendapat pekerjaan dan kerajaan masih mencari ruang penempatan serta masalah itu dijangka selesai akhir bulan ini.
“Kita berusaha untuk menyelesaikannya dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB).
“Saya agak terguris hati dengan dakwaan bahawa mereka tidak mendapat kerja sehingga sanggup mengangkat sepanduk di pejabat SPAD. Bagilah ruang masa kepada kerajaan menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandantangani antara Kerajaan Malaysia bersama MASwings Sdn. Bhd. (MASwings) dan Kumpulan AirAsia Sdn. Bhd. (AirAsia) di sini hari ini.
Anthony menjelaskan, antara jumlah pampasan diberikan adalah minimum tiga bulan dan ia dibayar sepenuhnya pada Isnin lalu (31 Disember).
“Malah terdapat seorang bekas kakitangan SPAD menerima pampasan bernilai RM268,000,” katanya.
Katanya, sebanyak 300 orang daripada 961 bekas kakitangan SPAD telah diserapkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) manakala 311 lagi ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Hanya 20 peratus belum selesai dan ini yang kita cuba serapkan kepada agensi lain pula.
“Sehubungan itu, saya merayu kepada mereka agar bersabar kerana kerajaan sedaya upaya menangani masalah ini.
“Mana ada dalam sejarah kerajaan sebelum ini apabila pekerja di agensi dibubarkan diberikan pekerjaan dan juga pampasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










