GAZA 21 Jan. – Kementerian Kesihatan Gaza mendesak supaya bantuan kecemasan disalurkan segera ke Semenanjung Gaza susulan krisis kekurangan bekalan bahan api dan memberi amaran ‘situasi bencana’ itu boleh menjejaskan operasi beberapa hospital termasuk pusat perubatan kanak-kanak.
Al-Jazeera memetik jurucakap kementerian, Ashraf al-Qidra berkata, sebanyak lima buah hospital di wilayah Palestin akan berhenti beroperasi kerana generator tidak mampu berfungsi memandangkan kekurangan bekalan bahan api.
“Nyawa ratusan pesakit di lima hospital tersebut kini terancam kerana krisis bekalan bahan api yang tidak mencukupi.
“Cuaca sejuk dan peningkatan tempoh masa pemotongan penggunaan elektrik juga menyebabkan penggunaan bahan api bertambah serta bekalan di lima hospital berkenaan kini menurun kepada 17 peratus,” katanya.
Di Hospital al-Rantisi, seorang bapa, Sufian Salem menunggu anaknya yang berusia setahun, Mohammed kerana mengalami masalah pernafasan.
Jelasnya, Mohammed merupakan anak bongsunya dan sering mengalami sesak nafas sehingga mukanya bertukar biru, menyebabkan dia menghantar anaknya itu ke hospital.
“Saya berasa sangat bimbang dengan krisis yang berlaku kerana kami tidak mampu mendapatkan alat bantuan pernafasan untuk Mohammed dan kami perlu hantarnya ke hospital.
“Namun, jika hospital ditutup, bagaimana saya ingin membantu anak saya? Semua pesakit kanak-kanak akan meninggal dunia,” jelasnya.
Di hospital lain, Umm Karam al-Hajj juga bimbang mengenai keadaan anak lelakinya yang kini berusia dua tahun kerana mengalami penyakit kegagalan fungsi buah pinggang serta memerlukan rawatan dialisis setiap empat hari.
Umm Karam berkata, nyawa anaknya bergantung kepada mesin dialisis namun bimbang jika hospital sudah tidak dapat beroperasi kerana kekurangan bahan api.
Dalam perkembangan lain, Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menuduh Israel mencabul Konvensyen Pelarian 1946 berhubung pelannya menutup agensi persekolahan di Baitulmuqaddis Timur.
UNRWA turut mendakwa pihak berkuasa Israel tidak memaklumkan kepada mereka mengenai cadangan menutup sekolah-sekolah yang terletak di bawah kelolaan agensi tersebut.
Media Israel melaporkan, Majlis Keselamatan akan menarik balik permit yang membenarkan sekolah-sekolah UNRWA daripada beroperasi bermula tahun depan.










