'Bantah sebab elaunkah' - Mufti Perlis - Utusan Malaysia

‘Bantah sebab elaunkah’ – Mufti Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 4 Jan. – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan segelintir imam yang membantah penamatan jawatan mereka adalah disebabkan soal elaun yang dinikmati mereka selama ini.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa tindakan sesetengah jemaah masjid yang mengadakan bantahan berhubung soal pemecatan itu adalah tidak memberi sebarang manfaat kerana keputusan yang telah dibuat itu sudah muktamad.

“Himpunan itu tidak dapat mengembalikan semula jawatan kesemua imam yang ditamatkan kontrak itu.

“Sebenarnya faktor utama mereka ini membuat bantahan adalah disebabkan elaun dan selesa menerimanya melalui peruntukan sedia ada sebelum ini.

“Tak timbul sebenarnya isu qunut, zikir dan sebagainya dalam isu ini tetapi adalah untuk memberi ruang kepada orang lain yang lebih muda dan kuat hafalannya menjadi imam,” katanya, di sini hari ini.

Hari ini, seramai 150 orang ahli jemaah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi di sini berhimpun secara aman selepas solat Jumaat bagi membantah pemecatan imam di masjid berkenaan.

Mereka juga menyifatkan Mohd. Asri sebagai pembohong dan pengecut kerana tidak menyatakan punca sebenar seramai 25 orang imam dipecat di seluruh negeri ini pada Selasa lalu.

Selain masjid berkenaan, sebanyak sembilan buah masjid lagi di daerah itu mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat tetapi kesemuanya berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Semalam, tular sekeping surat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs) berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.

Mohd. Asri kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada parti politik tertentu yang seolah-olah memainkan peranan mereka dalam memperbesarkan isu ini.

“Kadang-kadang ada sebilangan masjid, ahli keluarganya sahaja yang memenuhi jawatan dalam institusi masjid itu.

“Seolah ada elemen parti tertentu yang mempengaruhi mereka dalam isu ini sedangkan negeri lain yang tidak sambung kontrak imam masjid tak pula menjadi isu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN