DUNGUN 13 Jan. – Seorang kakitangan Jabatan Pertanian Hulu Paka yang bakal bersara wajib bulan depan maut setelah motosikal ditungganginya cuba mengelak lembu melintas dalam kemalangan di Kilometer 18.5 Jalan Paka – Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dekat sini malam tadi.
Zahawi Ngah, 60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, nahas itu berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa melanggar sebuah kereta sewa selepas mengelak dari melanggar sekawan lembu di situ.
Beliau memberitahu, kejadian berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan dari arah Bandar AMBS menghala ke Bandar Ketengah Jaya.
“Keadaan laluan gelap berikutan tiada lampu jalan di kawasan tersebut dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan mengambil beberapa dokumen berkaitan persaraannya.
“Setiba di lokasi nahas, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dikatakan cuba mengelak sekawan lembu sedang melintas jalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan kereta sewa berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, mangsa telah tercampak di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










