Serangan anjing gila? Sudah pasti anda membayangkan sekumpulan anjing berbahaya dan berkeliaran yang berkemungkinan membawa wabak anjing gila atau rabies.
Namun, bagaimana jika yang menyerang itu ialah haiwan peliharaan anda sendiri. Di Taiping baru-baru ini, dua mangsa menerima rawatan akibat digigit anjing peliharaan mereka sendiri. Sampel otak daripada anjing tersebut telah diuji dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada jangkitan rabies dikesan dalam kalangan manusia di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, dua mangsa berkenaan masih terus dipantau dan telah diberikan vaksin dan rabies immunoglobulin.
Apakah yang menyebabkan wabak rabies? Adakah jangkitan berpunca daripada anjing terbiar atau pengabaian vaksin? Adakah rabies berpunca daripada anjing sahaja atau haiwan lain?
Anjing mungkin haiwan yang paling biasa pembawa penyakit ini tetapi sebenarnya semua mamalia pun boleh dijangkiti. Virus ini boleh merebak daripada air liur haiwan terjangkit dan melalui gigitan atau sebarang kejadian yang menembusi kulit seperti jilatan haiwan di tempat luka.
Menurut Pakar Perunding Hospital Pakar KPJ Johor, Datuk Dr. M. Singaraveloo, rabies ialah jangkitan virus akut. Rabies terdapat dalam haiwan di kebanyakan negara seluruh dunia. Kebanyakan kes jangkitan manusia berlaku di negara-negara membangun. Agen penyebab bagi penyakit ini berjangkit ialah virus rabies sejenis rabdovirus daripada genus lyssavirus. Cara jangkitannya pula ialah virus rabies yang terdapat dalam air liur haiwan dan boleh berjangkit melalui gigitan atau sebarang kejadian yang menembusi kulit seperti jilatan haiwan di tempat luka.
“Rabies berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit daripada air liur, cairan atau tisu tubuh haiwan tersebut kepada manusia. Masa inkubasi rabies ialah tiga minggu hingga dua bulan daripada gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala.
“Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma,” jelasnya.
Pesakit mengalami demam selain kebas di sekitar kawasan luka gigitan itu. Kemudian apabila kuman sampai kepada saraf manusia, pesakit mengalami pergerakan anggota badan luar kawalan, gelisah, fobia pada air, lemah anggota badan atau lumpuh, keliru, cuak, gelisah, berhalusinasi dan akhirnya tidak sedarkan diri. Penghasilan air liur juga menjadi banyak dan pesakit sukar menelan menyebabkan air liur menitis-nitis keluar daripada mulut.
Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila seseorang itu digigit oleh anjing yang berkemungkinan besar pembawa virus ini ialah membasuh luka dengan air dan sabun. Luka perlu dibasuh sekurang-kurangnya lima minit. Penggunaan antiseptik juga dapat membantu mengurangkan jumlah virus daripada memasuki badan pesakit.
Suntikan vaksin atau imunisasi perlu diberi serta-merta atau selewat-lewatnya dalam masa enam hari selepas digigit. Ini untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan oleh virus berkenaan.
Keberkesanan rawatan ini hanya berlaku jika pesakit belum mempunyai simptom rabies. Jika timbul simptom, kadar penyembuhan sangat tipis dan kadar kematian meningkat. Tambah beliau, rabies akan menyebabkan kematian 100 peratus jika tanda-tanda penyakit telah timbul.
Kebanyakan kes, kanak-kanak sering menjadi mangsa kerana mereka lebih cenderung untuk menjadi mangsa gigitan kerana tidak dapat mengelak dari gigitan. Bahagian-bahagian yang senang cedera pada kanak-kanak ialah bahagian muka, kepala dan badan mereka.
Kanak-kanak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat gigitan anjing liar kerana mereka selalu didapati berbasikal di tepi jalan dan bermain di taman atau kawasan yang terbuka.
Di samping itu, kanak-kanak biasanya tidak akan melaporkan dengan segera jika mereka telah digigit atau telah bersentuh haiwan jangkitan. Malah dianggarkan 40 hingga 60 peratus mangsa gigitan haiwan ialah kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.
Beliau menasihatkan agar pemilik anjing memberi suntikan vaksin rabies selain mengurung binatang peliharaan (anjing dan kucing) bagi mengelak berlakunya gigitan daripada anjing berkeliaran.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak mendekati anjing berkeliaran. Jika berlaku gigitan, bersihkan luka dengan sabun dan terus ke klinik kerajaan yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
RAWATAN
Rawatan selepas terkena gigitan bertujuan untuk mengelakkan jangkitan rabies. Rawat luka dengan segera, basuh luka dengan sabun dan air atau air sahaja. Selepas itu, sapukan etanol (70 peratus) atau tinktur atau larutan iodin akueus atau iodin povidon.
Rawatan khusus
Antirabies Imunoglobulin (RIG) disapukan pada tempat luka dan tisu di sekitarnya.
Beberapa dos vaksin disuntik ke dalam kulit atau ke dalam otot (bergantung kepada jenis vaksin yang digunakan). Dos pertama mesti diberikan seawal mungkin selepas terkena gigitan dan dos terakhir dalam tempoh 28 hari sekiranya disuntik ke dalam otot atau 90 hari sekiranya disuntik ke dalam kulit.
Pencegahan tetanus dan rawatan antibakteria (jika diperlukan).
Elakkan menjahit atau menutup luka (kecuali jika tidak dapat dielakkan).
Langkah pencegahan
Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilang kesan air liur.
Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar.
Pastikan anjing atau kucing peliharaan mendapatkan suntikan antirabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan hubungan bersama haiwan atau anjing liar.
Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat.
Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar berkeliaran.
Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.










