KABUL 29 Jan. – Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan militan Taliban sudah merangka satu rangka kerja perjanjian yang bakal membuka jalan terhadap rundingan damai dengan Afghanistan.
Perkara itu dinyatakan oleh perunding utama AS, Zalmay Khalilzad dan fokus utama rangka kerja berkenaan adalah gencatan senjata serta pengunduran tentera asing yang masih ada di Afghanistan.
Rangka kerja tersebut memberi isyarat jelas daripada pegawai AS bahawa rundingan antara Washington dan Taliban masih berlangsung, sekali gus mencetuskan harapan baharu konflik peperangan di Afghanistan selama 17 tahun dapat ditamatkan.
Zalmay telah mengetuai desakan diplomatik untuk meyakinkan Taliban mengadakan rundingan dengan kerajaan Afghanistan selama beberapa bulan namun kumpulan militan itu tetap berdegil dan menggelar pihak berkuasa di Kabul sebagai ‘boneka’.
Namun pertemuan antara AS dan Taliban selama enam hari di Qatar pada minggu lalu dilihat memberi perkembangan yang positif.
“Kami mempunyai draf rangka kerja yang perlu diteliti sebelum menjadi satu persetujuan,” kata Zalmay yang tiba di sini kelmarin bagi memberi maklumat terkini kepada pihak berkuasa Afghanistan berkaitan pertemuan itu.
Tambah Zalmay, Washington dan Taliban ‘telah mencapai persetujuan secara prinsipal berhubung beberapa isu penting dan beliau menyarankan agar Afghanistan mengambil peluang tersebut’.
Penganalisis dengan segera memuji perkembangan itu sebagai satu peristiwa penting dan menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak untuk mencari jalan keluar konflik terbabit.
Bagaimanapun, masih belum wujud persetujuan berhubung tempoh masa pengunduran tentera AS atau gencatan senjata.
Menurut jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, tanpa penetapan tempoh masa tertentu berkaitan pengunduran itu, perkembangan isu-isu lain dilihat mustahil.
Dalam pada itu, Zalmay mengesahkan Taliban telah mencapai persetujuan mengenai satu isu utama dengan AS iaitu zon selamat.
“Taliban telah menyatakan komitmen untuk melakukan apa yang diperlukan bagi menghalang Afghanistan daripada menjadi platform kumpulan pengganas atau individu global,” katanya kepada The Times. – AFP











