SUNGAI PETANI – Orang ramai dinasihatkan agar menghentikan sementara aktiviti rekreasi air di pantai sekitar daerah Kuala Muda bermula hari ini sehingga 7 Januari bagi mengelak kejadian tidak diingini susulan amaran ribut tropika Pabuk yang dijangka menjejaskan sebahagian kawasan di negeri ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, ribut tropika Pabuk kini dilaporkan berada di Teluk Siam dan menghala ke Segenting Kra dengan kelajuan 20 kilometer sejam (KMSJ).
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat dan angin kencang melebihi 60 KMSJ, serta laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter.
“Keadaan ini bahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan. Justeru, saya menasihatkan orang ramai menghentikan sementara daripada melakukan aktiviti di kawasan perairan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di Pantai Merdeka dekat sini hari ini.
Sementara itu, Azahar yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda berkata, antara aktiviti berisiko sepanjang tempoh 4 hingga 7 Jan di daerah ini termasuklah aktiviti perikanan di kawasan Kota Kuala Muda dan Tanjung Dawai. – Bernama








