PENDANG 3 Jan. – Hajat seorang anak mahu mengadakan majlis tahlil untuk arwah bapanya yang meninggal dunia seminggu lalu tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Tiang, di sini hari ini.

Lebih menyedihkan, dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa, Rosna Hassan, 60, yang menunggang motosikal berseorangan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli laksa untuk jamuan sempena majlis berkenaan petang ini.
Difahamkan, mangsa dari pekan Pendang hanya berbaki empat kilometer untuk tiba ke rumahnya di Kampung Charok Kudong, sebelum motosikalnya dipercayai bertembung dengan sebuah lori di tempat kejadian.
Menurut anak saudaranya, Abdul Hadi Che Awang, 23, majlis tahlil yang dirancang untuk bapa mangsa, Allahyarham Hassan Ahmad yang meninggal dunia akibat sakit tua, Rabu lalu sepatutnya disusuli majlis khatam al-Quran.
“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli laksa untuk jamuan majlis tahlil arwah bapanya tetapi ahli keluarga dikejutkan pula dengan berita kemalangan menimpa ibu saudara saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
“Berdasarkan siasatan awal, lori terbabit dari arah Sungai Tiang menuju ke pekan Pendang, dipercayai bertembung dengan motosikal mangsa dari arah hadapan dan hilang kawalan ke bahu jalan sebelah kanan lalu terbabas ke dalam bendang.
“Siasatan lanjut sedang dilakukan dan polis meminta saksi-saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










