Amalan zikir, doa qunut mungkin sebab dipecat - Imam - Utusan Malaysia

Amalan zikir, doa qunut mungkin sebab dipecat – Imam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 3 Jan. – Rata-rata imam negeri ini yang mendapat surat pemecatan jawatan mereka, kelmarin menzahirkan rasa terkilan dengan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) itu.

Salah seorang imam yang enggan namanya didedahkan memberitahu, dia hanya dimaklumkan mengenai pemecatan itu pada 1 Januari lalu tanpa dimaklumkan mengenai sebab-sebab mengapa dia diberhentikan.

Katanya, pemecatan tersebut mungkin disebabkan mereka mengamalkan bacaan zikir selepas solat, doa qunut, bacaan Yasin pada malam Jumaat serta selawat ketika solat tarawih.

“Saya rasa terkilan kerana mereka (jabatan agama) langsung tidak panggil saya untuk diberikan amaran terlebih dahulu atau mendengar penjelasan saya. Sepatutnya maklumkanlah mengenai kesalahan apa yang dilakukan. Tiba-tiba terus dapat surat (pemecatan).

“Amalan seperti selawat, surah Yasin sememangnya menjadi amalan jemaah sejak dahulu dan kita mengikut kemahuan mereka.

“Di Perlis ini, kira-kira 10 daripada keseluruhan 100 buah masjid di negeri ini dikatakan tidak sealiran dengan jabatan agama daripada sesetengah perkara seperti doa qunut, zikir dan bacaan Yasin. Yang lain kita ikut cara yang ditetapkan jabatan agama ini termasuk menggunakan teks khutbah Jumaat yang disediakan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Surat pemecatan imam di Perlis yang diterima mereka pada 1 Januari lalu.
Surat pemecatan imam di Perlis yang diterima mereka pada 1 Januari lalu. 

Sebuah portal dalam talian hari ini melaporkan seramai 25 orang imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat, berkuat kuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu, dilihat seakan-akan dibuat secara tergesa-gesa tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula 1 Januari 2019, sehingga tiada nombor rujukan surat diisi dalam kurungan pada bahagian atas surat berkenaan.

Seorang lagi imam dari Masjid Al- Maghfirah Sanglang, Abdullah Sabu, 61, pula berkata, dia juga terkilan dengan tindakan yang disifatkan terburu-buru itu.

“Tengah elok-elok di masjid, tiba-tiba jadi kelam kabut dengan tindakan ini. Kebanyakan jemaah juga merasakan tidak puas hati dengan tindakan pemecatan tersebut.

“Saya juga berharap kalau hendak pilih imam baharu, pilihlah dalam kalangan anak tempatan bukan orang luar,” katanya.

Seorang jemaah dari Masjid Al- Maghfirah, Alias Daud, 53, berkata, para jemaah sudah selesa dengan imam sedia ada dan tidak sepatutnya tindakan pecat ini diambil.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN