KUANTAN 22 Jan. – Rangkaian gedung barangan sukan terkemuka, Al-Ikhsan Sport Sdn. Bhd. (Al-Ikhsan) melabur kira-kira RM2 juta untuk membuka empat cawangan gedung gaya hidup bola sepaknya, Football Republic pada tahun ini.
Ketua Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali berkata, empat gedung berkenaan adalah di daerah ini, Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan dan Johor Bahru.
Katanya, daerah ini merupakan cawangan keempat dan yang pertama dibuka tahun ini selepas cawangan pertama di Suria KLCC, Alor Setar Kedah dan Sunway Pyramid.
“Selepas Kuantan, kita akan membuka tiga lagi cawangan untuk tahun ini iaitu di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Johor Bahru.
“Lazimnya, sebanyak RM300,000 dilaburkan bagi setiap cawangan Football Republic, bagaimanapun untuk tahun ini ada sedikit pertambahan berikutan saiz cawangan di Johor Bahru yang lebih besar,” katanya selepas majlis pelancaran cawangan Football Republic cawangan Kuantan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain dan Jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
Pada majlis itu, Mizal turut mengumumkan penajaan skuad Pahang oleh Al-Ikhsan dalam bentuk peralatan bola sepak untuk tempoh dua tahun sehingga 2020.
Mizal berkata, Football Republic menyediakan pelbagai variasi barangan bola sepak berkualiti premium seperti kasut bola dan jersi.
“Peminat bola sepak boleh juga mendapatkan barangan bola sepak dengan kualiti yang sama seperti digunakan oleh pemain profesional bertaraf dunia,” ujarnya.










