MINGGU lalu, Ketua Pengarah Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan berkata bahawa penggubalan Akta Pembiayaan Politik (Political Funding Act) merupakan salah satu keutamaan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (National Anti-Corruption Plan, NACP) yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Januari ini.
Kerajaan mungkin mengambil masa hingga dua tahun untuk menggubal undang-undang itu. “Boleh jadi juga enam bulan hingga satu tahun, bergantung sejauh mana kita dapat buat engagement dengan semua pihak. Kita tak mahu buat tergesa-gesa kerana undang-undang ini cukup penting,” jelasnya.
Isu penggubalan satu undang-undang khas mengenai pembiayaan politik telah lama diperkatakan dan ramai berpendapat undang-undang itu mampu membanteras amalan rasuah dalam kalangan parti politik.
Tanpa mendedahkan kandungan draf undang-undang yang akan digubal itu, Abu Kassim menegaskan bahawa elemen penting dalam undang-undang itu nanti adalah ketelusan.
“Yang paling penting adalah ketelusan. Kalau sebuah parti politik ada terima duit, ia perlu dimasukkan dalam akaun parti, bukan dalam akaun peribadi ahli parti,” tambahnya.
Melobi
Abu Kassim menyatakan bahawa GIACC telah mengadakan banyak sesi dialog dengan pihak berkepentingan dalam usaha menggubal undang-undang itu dan kini sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk memuktamadkannya.
Penjelasan Abu Kassim ini menyusul kenyataan Dr. Mahathir pada 9 Julai 2018 lalu bahawa kerajaan akan membentangkan satu undang-undang baharu mengenai pembiayaan politik di Parlimen untuk membanteras rasuah dan amalan melobi (lobbying). “Kita tak mahu ahli dan penyokong parti politik memberi duit dengan harapan akan mendapatkan sesuatu sebagai balasan. Itu adalah rasuah”, tegas Dr. Mahathir.
Beliau menambah, pembiayaan politik adalah perlu kerana pilihan raya memerlukan banyak wang tetapi soalnya dari mana wang itu datang?
Tegas Dr. Mahathir, pastinya wang itu datang dari ahli dan penyokong parti. Sambil merujuk kepada sistem melobi yang wujud di Amerika Syarikat, beliau berkata, itu adalah satu amalan rasuah dan amalan seperti itu tidak boleh dibenarkan di negara ini (That is corruption. We will not allow that in Malaysia).
Menyambut baik inisiatif terbaharu kerajaan ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akbar Satar berkata, undang-undang itu boleh membantu kerajaan mengurangkan rasuah di negara ini.
Pada pendapatnya, ketiadaan ketelusan dan akauntabiliti dalam pembiayaan politik adalah satu masalah serius.
“Sudah sampai masanya kerajaan mewujudkan satu formula atau mekanisme mengawal selia pembiayaan politik di negara ini”, tegasnya lagi.
Akta Kesalahan Pilihan Raya
Pakar ekonomi Prof. K. S. Jomo pernah menyatakan pada September 2018 lalu bahawa semua pihak di negara ini mesti bergabung tenaga menyelesaikan isu rasuah pembiayaan politik jika mereka mahu negara ini maju ke depan sebagai sebuah negara yang bertamadun.
Sistem pembiayaan politik yang kita ada sekarang adalah begitu buruk sekali, tambahnya. Satu pembaharuan menyeluruh dalam sistem pembiayaan politik negara ini perlu dilaksanakan segara, katanya.
Mengikut Abdul Rahman, seorang peguam yang saya temui baru-baru ini, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ada peruntukan menghalang amalan rasuah semasa kempen pilihan raya. Akta itu mengehadkan jumlah perbelanjaan setiap calon (RM200,000 bagi calon Ahli Parlimen dan RM100,000 bagi calon ADUN) tetapi tidak ada peruntukan mengenai jumlah yang boleh dibelanjakan oleh sebuah parti politik.
Parti politik (yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966) dikehendaki mengemukakan pernyataan kewangan beraudit kepada Pendaftar Pertubuhan tetapi parti tidak diwajibkan mendedahkan sumber kewangan atau pembiayaan mereka. Dengan bahasa mudah, parti politik tidak perlu mendedahkan siapa penderma mereka.
Abdul Rahman mengingatkan saya bahawa pada Ogos 2015 lalu, Datuk Paul Low (Menteri dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak) ada berkata bahawa satu undang-undang pembiayaan politik akan dibentangkan di Parlimen “dalam tempoh satu tahun” bagi mengekang dan membanteras amalan pembiayaan luar (foreign financing).
Beliau berpendapat undang-undang pembiayaan politik mestilah menghendaki identiti penderma kepada sebuah parti politik itu didedah. Malangnya usaha itu gagal di tengah jalan.
Siar senarai penderma
Kajian ringkas saya menunjukkan bahawa di United Kingdom, setiap parti politik yang menerima derma dari pihak lain mestilah mendedahkan (melaporkan kepada UK Electoral Commission) jumlah derma yang diterima serta identiti penderma. Seterusnya, maklumat ini dimuat naik dan dinyatakan dalam laman web Electoral Commission tersebut.
Di Australia, derma politik diletakkan di bawah bidang kuasa Australian Electoral Commission (AEC). Setiap parti politik yang menerima derma dari pihak lain mesti melaporkannya kepada AEC dan badan itu akan menyiarkan setiap tahun senarai penderma kepada parti-parti politik di negara itu.
Di Singapura, undang-undang pembiayaan politik negara itu terkandung dalam satu akta (Political Donations Act, Cap. 236) dan diperincikan dalam satu peraturan (Political Donations Regulations) mula dikuatkuasakan pada 15 Februari 2001.
Undang-undang negara itu mengharamkan orang asing memberi derma kepada parti politik di negara itu. Setiap parti politik dan calon mereka diwajibkan mendedahkan (memfailkan laporan) kepada pihak berkuasa berkaitan (Registrar of Political Donations).
Di Taiwan, undang-undang berkaitan (Political Donations Act) telah dikuatkuasakan pada 31 Mac 2004. Di Ireland, beberapa undang-undang lama telah dipinda di bawah Electoral (Amendment) (Political Funding) Act 2012 bertujuan mewujudkan satu daftar penderma korporat serta mewajibkan penzahiran identiti penderma dan amaun derma yang diterima semua parti politik setiap tahun.
Di Afrika Selatan, satu rang undang-undang baru mengenai pembiayaan politik (Political Party Funding Bill) telah digubal dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen negara itu pada 28 Jun tahun lepas.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.











