KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan dakwaan kononnya akan berlaku penukaran Yang di-Pertuan Agong sebagai sekadar khabar angin
Menurut beliau, Sultan Muhammad V sudah memulakan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas beristirahat menjalani rawatan.
“Saya pun hanya dengar khabar angin tetapi setahu saya baginda sudah mula bertugas,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan kononnya terdapat Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang membuat keputusan meminta Sultan Muhammad V menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong lebih awal atas sebab-sebab tertentu.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, setakat ini tiada sebarang pengumuman atau surat rasmi berhubung perkara tersebut.
Sultan Muhammad V sebelum ini beristirahat menjalani rawatan bermula 2 November sehingga 31 Disember tahun lalu dengan tugas Yang di-Pertuan Agong dipangku timbalan baginda, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Sultan Perak. – K! ONLINE










