KANGAR 10 Jan. – Raja Muda Perlis bertitah adat istiadat Melayu wajar dijadikan teras dalam pembentukan identiti negara mengambil kira kedudukan masyarakat Melayu yang dianggap nukleus dalam sistem sosial di Malaysia selain keistimewaannya yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, walau apa jua perkara yang menjadi hala tuju negara atau apa-apa dasar yang dirangka, keadilan sosial hendaklah menjadi sempadan agar masyarakat berbilang kaum turut terbela.
“Penghayatan kepada Rukun Negara wajar dijadikan keutamaan dalam memberikan interpretasi kepada nilai adat dalam kehidupan seharian.
“Kedudukan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang DiPertua Negeri juga merupakan aspek yang penting untuk menjadikan adat Melayu sebagai pemangkin identiti nasional, titah baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin pada Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Pertama bagi tahun 2019 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Dewan Kulliyah MAIPs Behor Temak Kangar baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berharap agar Adat Istiadat Melayu dapat terus dipertahankan dan disuburkan pada hari ini.
Pada masa yang sama, baginda bertitah, dalam usaha untuk melestarikan adat dan istiadat, kita juga harus melihat kepada kepentingan untuk menerima mana-mana unsur dan nilai luar untuk dijadikan pengukuh kepada adat yang telah sekian lama mengakar.
Justeru, titah baginda, nilai-nilai positif yang baharu wajar direncanakan demi mengukuhkan aspek adat dan Istiadat Melayu sedia ada. – UTUSAN ONLINE










