BERI kemenangan kepada Abang Ramli kita !

“Kalau kita hendak pilih wakil kita (Ahli Parlimen), kenalah orang yang kita kenal, takkan kita nak pilih orang yang kita tak kenal.
“Dan kalau kita kenal Abang Ramli kita, tentulah lebih mudah nak minta apa-apa daripada dia. Dia lebih mengetahui daripada orang lain tentang keperluan masyarakat Orang Asli bukan sahaja di Cameron Highlands tetapi di seluruh masyarakat Orang Asli seluruh Malaysia.
“Saya percaya dia akan menjadi pejuang masyarakat Orang Asli di dalam Parlimen.
“Saya yakin Abang Ramli akan jaga kepentingan masyarakat Orang Asli kerana dia dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Takkan nak biarkan dia kalah…sekarang ni tidak pernah ada lagi dalam sejarah Malaysia setakat hari ini… Ahli Parlimen daripada kalangan masyarakat Orang Asli.
“Inilah peluang untuk memastikan Abang Ramli menjadi Ahli Parlimen Cameron Highlands dan mencipta sejarah sebagai Ahli Parlimen pertama.
“Jangan lepaskan peluang kerana dia akan jadi Ahli Parlimen pertama suku Semai dan Orang Asli secara keseluruhannya,” itulah kata-kata kempen seorang pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berkobar-kobar membawa semangat pembaharuan yang perlu terkesan dalam jiwa raga setiap pengundi masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.
Ramai yang meramalkan kemenangan bagi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands adalah Ramli Mohd Nor, 61 tahun, sebagai calon langsung BN yang berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan dua lagi calon bebas, Salehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee pada 26 Januari ini (Sabtu).
Tidak terkecuali akan ramalan kemenangan itu pun datangnya dari jentera PH yang mengakui berdepan dengan saingan cabaran yang sangat getir serta kewibawaan calon BN sendiri dalam masyarakat Orang Asli suku Semai.
Ramai juga pemerhati dan penganalisis politik turut meramalkan kemenangan calon BN yang juga bekas pegawai tertinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) dan bakal graduan Doktor Falsafah (PhD) di samping mempunyai sarjana dan sarjana muda dari universiti awam dan luar negara.
Persoalannya apa sebenarnya signifikan bakal kemenangan Ramli dan institusi keparlimenan yang ramai pemerhati termasuk pengundi Cameron Highlands sudah melihat adanya satu lorong panjang dipenuhi nur cahaya, pastinya kelak membawa satu pembaharuan perjuangan, khususnya Orang Asli di Dewan Rakyat.
Apa sebenarnya perjuangan yang bakal dipikul oleh Ramli kelak ? Kenapa Ramli perlu dipastikan berada di Dewan Rakyat itu ?
Selama ini pun, suara masyarakat Orang Asli sudah bergema di Dewan Negara sejak 62 tahun kemerdekaan negara.
Belum pernah dalam sejarah, rakyat memberi undi kemenangan kepada calon Orang Asli di Dewan Rakyat.
DAP pernah mencubanya dengan meletakkan Nasir Dollah, calon Orang Asli pertama dalam sejarah DAP bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Kelantan, bagi mewakili suara orang Temiar di Gua Musang, tetapi tidak kesampaian.
Nasib sama menimpa sekutu politik DAP, iaitu PKR, di mana Bob Manolan Mohamad sebagai senator Orang Asli lantikan PKR pertama juga kalah dalam DUN Kemayan yang dimenangi calon BN, YB Mohd Fadil Osman, pada PRU14 lalu.
Ketika ini, ada seorang lagi senator mewakili suara masyarakat Orang Asli yang sudah pun beralih angin perjuangan politik, Isa Ab Hamid yang dahulunya Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang untuk penggal pertama bagi tempoh 2016 hingga 2019.
Sebenarnya menerusi Dewan Rakyat, suara keramat setiap Ahli Parlimen itu mempunyai “ruh” suara rakyat yang diwakilinya.
Sila duduk dalam tempoh waktu yang panjang dalam Dewan Rakyat yang berbumbungkan corak mata lembing, seakan-akan ada “semangat” suara kedengaran yang menyelami jiwa wakil rakyat untuk bersuara dan membangkitkan setiap permasalahan.
Kalau kita lihat kisah seantero institusi keparlimenan, Ken Wyatt menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama Australia dipilih dalam Dewan Perwakilan Parlimen pada 2010 dan merupakan Orang Asli pertama memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri Kesihatan pada 30 September 2015.
Suara perjuangan Orang Asli Australia akhirnya memasuki parlimen selepas 109 tahun sejak parlimen negara Kanggaro itu dibuka pada 1901.
Ini diikuti wakil rakyat wanita Orang Asli pertama, Linda Burney, dipilih pengundi ke Parlimen Australia pada 2016 selepas berjaya menjadi wakil Orang Asli pertama parlimen negeri di New South Wales pada 2003.
Perjuangan mengenai tanah adat, hak kebebasan dan sivil, pekerjaan, pendidikan dan peluang ekonomi yang selama ini membelenggu masyarakat Orang Asli Australia semakin didengari kerana semuanya bermula di institusi parlimen.
Tidak terkecuali Parlimen New Zealand telah melaksanakan satu transformasi dan keterbukaan kepada masyarakat Orang Asli menerusi Akta Perwakilan Maori 1867 yang menyediakan empat kerusi Parlimen yang diundi dalam kalangan masyarakat mereka sendiri di dalam Dewan Perwakilan sejak 152 tahun lalu.
Tāreha Te Moananui adalah salah seorang Ahli Parlimen Maori pertama yang membawa kepada perintis suara masyarakat Maori yang memperjuangkan hak tanah adat menerusi perbahasan-perbahasan beliau yang keras dan agresif.
Moananui yang berbahas dalam bahasa Maori dan diterjemahkan menerusi jurubahasa parlimen tidak melepaskan peluang mempertahankan hak-hak kaum pribumi di dalam dewan dan akhirnya peristiwa Pakeha yang dikuasai Mahkamah Pejabat Tanah Pribumi telah memudahkan keputusan pemilikan tanah kaum Maori sendiri selepas itu.
Satu lagi contoh yang cukup ironi adalah penindasan masyarakat pribumi Indians termasuk tawaran janji-janji palsu di Brazil, akhirnya muncul seorang ketua pribumi Indians dari Namunkura, Mario Juruna yang akhirnya dipilih sebagai Ahli Parlimen masyarakat Orang Asli di National Congress of Brazil, peringkat Parlimen Persekutuan pada awal 1980-an.
Bagi kesinambungan perjuangan masyarakat pribumi, muncul seorang wanita Orang Asli berlatarbelakang seorang peguam yang dilantik sebagia Ahli Parlimen wanita pertama, dikenali sebagai Joenia Wapichana, pada Oktober 2018 lalu.
Suara lantang beliau memperjuangkan tanah adat yang sentiasa konflik dan bermandikan darah telah memberi kemenangan yang menyakinkan dan membuka satu ruang yang luas dalam parlimen National Congress of Brazil.
Sebenarnya kemenangan Wapichana tidak semudah disangka kerana beliau terpaksa melalui perit getirnya permainan kotor politik dan pilihan raya sehingga mengancam nyawanya sendiri di utara Brazil itu.
Soalnya beliau tidak peduli kerana yang dipedulikan itu adalah harapan majoriti masyarakat Orang Asli di tempat asalnya, Roraima, dan pada waktu sama, Wapichana adalah harapan sejuta masyarakat Orang Asli di negeri yang terkenal dengan bola sepak samba.
Berbalik semula di Semenanjung, dari segi falsafah perjuangan politik terutama dalam kalangan Orang Asli, masyarakat ini terdiri daripada tiga buah rumpun bangsa utama iaitu Semang-Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.
Semai adalah dalam rumpun Senoi, selain Che Wong, Jahut, Mahmeri, Semoq Beri dan Temiar serta suku Kensiu, Kintak, Jahai, Lanoh, Mendriq, Batek, Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanak, Orang Kuala dan Orang Seletar.
Ramli bukan sekadar suara kaum Melayu, Cina, India, suku Semai di Cameron Highlands semata-mata, tetapi dia adalah suara hampir 200,000 Orang Asli di seluruh negara. Walaupun masyarakat Orang
Asli membentuk 0.5 peratus dari jumlah penduduk negara seramai 30 juta orang, namun pastinya suara Orang Asli di Dewan Rakyat cukup bermakna.
Sudah tiba masanya masyarakat Orang Asli tidak terkecuali menikmati pembangunan direncanakan kerajaan. Sejumlah besar peruntukan disediakan bagi tujuan pembangunan masyarakat Orang Asli, malah
laporan, dokumen dan dasar perlu dipertingkatkan.
Suara Ramli perlu didengari di Dewan Rakyat berhubung pengiktirafan hak adat Orang Asal/Asli terhadap tanah, remedi bagi tanah yang hilang serta menangani isu dan ketidakseimbangan pembangunan tanah.
Tidak terkecuali soal-soal mencegah kehilangan tanah adat Orang Asal/Asli pada masa hadapan, menangani isu pentadbiran tanah dan mengiktiraf tanah sebagai nadi kepada identiti golongan itu perlu dibahaskan kelak secara berhemah dan berhelah.
Selain isu tanah, keciciran dalam pendidikan juga memerlukan suntikan dan sinar baharu. Penulis percaya “Abang Ramli” kita akan melihat sebahagian dokumen seperti Nota Serah Ambil Alih Tanggungjawab Sekolah dan Asrama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Memorandum pengambilan Sekolah-sekolah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli 1995; Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan Orang Asli 2001-2002; Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan Masyarakat Orang Asli Kawasan Pinggir 2002; Laporan Status Hak Pendidikan Kanak-Kanak Orang Asli oleh SUHAKAM 2011 (terdapat 11 Syor); Pelan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan, 2012 (7 inisiatif); Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli 2011-2015 (Teras 1: Pembangunan Modal Insan- KEDAP, KAP) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (meneruskan program KAP).
Suara “Abang Ramli” dituntut dalam memastikan isu masyarakat Orang Asli yang masih sama, iaitu pelaksanaan tidak komprehensif dan bersepadu akhirnya melalui satu proses pembaharuan yang drastik demi kebaikan semua.
Mungkin sudah tiba masanya jua pembelaan Orang Asli yang juga banyak bergantung kepada keberkesanan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Ada kajian mengesyorkan agar peranan JAKOA disemak semula dan satu jabatan khas dikendali wakil yang dipilih oleh masyarakat Orang Asli diwujudkan.
Ayuh pengundi Cameron Highlands, jadikan MISI MENCARI RAMLI menjadi realiti kepada “Abang Ramli” membawa suara anda di DEWAN RAKYAT. – UTUSAN ONLINE
• Penulis adalah penganalisis media sosio-politik dan bekas pegawai penyelidik Parlimen Malaysia selama sedekad lalu.











