JOHOR BAHRU 26 Jan. – Sebanyak 4,963 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Januari hingga November tahun lalu, sekali gus memberi gambaran keganasan terhadap wanita berada pada tahap membimbangkan.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu pelbagai program khusus untuk menangani masalah tersebut terus dilaksanakan.
“Secara umumnya, masalah sosial seperti keganasan terhadap wanita, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan kehamilan remaja kian meningkat serta mendapat perhatian pelbagai pihak,” katanya ketika berucap merasmikan Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Johor di Angsana Mall di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.
Dr. Wan Azizah berkata, Talian Kasih 15999 yang diperkenalkan untuk membantu mangsa atau pihak ketiga mendapatkan bantuan menerima 651 permohonan membabitkan penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga pada tahun lalu.
Tambahnya, daripada jumlah itu, 75 kes dilaporkan di negeri ini dan merupakan yang ketiga tertinggi di negara ini.
“Sehubungan itu, orang ramai diharap dapat menunjukkan keprihatinan dengan menjadi mata dan telinga kementerian dalam melaporkan perkara meragukan untuk disiasat dan diberikan bantuan kepada mangsa terlibat,” katanya.










