30 peratus sektor pengangkutan terlibat - Utusan Malaysia

30 peratus sektor pengangkutan terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Seba­nyak 30 peratus syarikat pe­ngangkutan akan terlibat dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) yang berlangsung bermula 26 hingga 30 Mac ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, pening­katan jumlah penyertaan syarikat terbabit merupakan hasil kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pe­ngangkutan yang buat julung kalinya terjalin sempena LIMA ‘19.

Selain itu katanya, ruang pameran LIMA ’19 juga kini telah ditempah sebanyak 75 peratus dengan membabitkan syarikat antarabangsa dan tempatan.

“Ia menunjukkan satu kemajuan yang baik. Kita ada tiga bulan lagi sebelum LIMA ‘19, namun 75 peratus ruang pameran telah ditempah.

“Malah, kita yakin akan ada penyertaan daripada negara baharu walaupun negara yang pernah terlibat sebelum ini mengesahkan kehadiran mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengha­diri Majlis Serah Terima Tugas Pang­lima Angkatan Bersama di Wisma Perwira di sini hari ini.

Majlis upacara serah terima tugas itu membabitkan Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman yang akan bersara wajib hari ini.

Jawatan tersebut akan di­sandang Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas), Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd. Zuki.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Tentera laut, Laksamana Datuk Mohd. Redza Mohd. Sany; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd. Manaf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN