2 lelaki pecah 12 tabung di 9 masjid ditahan - Utusan Malaysia

2 lelaki pecah 12 tabung di 9 masjid ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 3 Jan. – Kegiatan dua lelaki termasuk seorang yang berusia 54 tahun yang aktif memecah tabung masjid di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini berakhir selepas mereka berjaya ditahan polis.

Lelaki itu yang bertindak sebagai dalang (master mind) ditahan bersama seorang lagi suspek berusia 19 tahun selepas memecahkan 12 tabung di sembilan buah masjid sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 54 tahun itu juga ditahan ketika sedang memecahkan tabung di sebuah masjid di Sungai Dua, di sini minggu lalu.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis menahan suspek kedua Jumaat lalu, di Bandar Perda di sini.

“Hasil soal siasat mendapati dalang itu mengaku terlibat dalam tujuh kes pecah tabung masjid di sekitar daerah ini manakala seorang lagi suspek terlibat dalam tiga kes di Sungai Dua, Butterworth.

“Selain itu, kita turut merampas alat pencanai, pemutar skru, gergaji besi, kabel penyambung dan wang kertas bercampur-campur disyaki hasil daripada kegiatan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, hasil siasatan mendapati suspek menggunakan wang tabung masjid yang dicuti tersebut bagi membeli dadah memandangkan kedua-duanya didapati positif dadah bahan terlarang itu.

Menurutnya kedua-dua suspek direman selama 14 hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN