1MDB-DiCaprio disoal siasat - Utusan Malaysia

1MDB-DiCaprio disoal siasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA 5 Jan. – Bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio beberapa bulan kebelakangan ini dilaporkan hadir secara rahsia di mahkamah bagi memberi keterangan berkaitan kes penipuan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kehadiran selebriti kelas A itu adalah sebahagian daripada proses siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Washington Post me­laporkan, ini selepas beberapa individu termasuk bekas ahli kumpulan rap Fugee, bekas Perdana Menteri Malaysia dan seorang pengumpul dana terkenal kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dipanggil untuk tujuan sama.

Sumber memberitahu, pendakwa raya menganggap DiCaprio sebagai saksi penting untuk membantu siasatan bagi kes jenayah pengubahan wang haram menggunakan dana 1MDB yang bernilai bilion dolar dan bukan sasaran utama kes itu.

Keterangan DiCaprio dalam prosiding terbabit tidak diketahui memandangkan prosiding melibat juri awam berjalan secara tertutup.

Lebih mengelirukan, penguat kuasa berupaya membawa DiCaprio keluar dan masuk mahkamah persekutuan tanpa disedari mana-mana pihak.

Jurucakap DoJ dan seorang wakil DiCaprio bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Namun jurucakap DiCaprio sebelum ini memberitahu pelakon tersebut telah memberi kerjasama penuh dalam membantu proses siasatan dan menyokong segala usaha untuk membawa keadilan ke atas kes berkenaan.

Jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa di mahkamah persekutuan New York akhir tahun lalu membabitkan kesalahan mencuri dan mengubah wang secara haram.

Pendakwa raya meneruskan proses siasatan, melibatkan beberapa individu yang pernah berkhidmat untuk Goldman Sachs dan pegawai Jabatan Kehakiman yang dipercayai terlibat dengan kes terba­bit.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN