MELAKA – Seramai 169 pemilik kedai dan pengusaha kedai makan di tiga daerah negeri ini diberikan notis kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok yang ditetapkan sejak hari pertama penguatkuasaannya pada 1 Januari lalu.
Dalam pada itu, seramai 28 perokok tegar turut diberikan notis amaran oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) kerana engkar larangan merokok di premis makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, sepanjang tempoh tiga hari itu sebanyak 272 buah kedai makan telah diperiksa dan hampir 70 peratus daripadanya masih gagal meletakkan tanda larangan merokok.
“Sebanyak 169 pemilik dan pengusaha kedai telah diberikan notis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok, manakala 28 orang perokok diberi notis amaran atas kesalahan merokok dalam premis makanan di tiga daerah di Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.
“Walaupun rata-rata perokok kini sudah maklum larangan tersebut yang dikuatkuasakan sejak awal tahun ini, namun kita dapati tahap kesedaran pengusaha tentang usaha meletakkan tanda larangan merokok masih agak rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi pemeriksaan kempen larangan merokok di premis makanan yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah dan Jabatan Kesihatan Negeri di Jalan Hang Tuah di sini petang ini.
Tambahnya, sebanyak 1,935 keping risalah antimerokok turut diedarkan kepada para pengusaha kedai makan di seluruh negeri. – K! ONLINE










