JERANTUT – Seramai 1,673 murid di daerah ini menerima Bantuan Khas Sekolah Rendah daripada Yayasan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, penerima bantuan diagihkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Seramai 647 orang penerima dari DUN Pulau Tawar manakala masing-masing 513 orang dari DUN Tahan dan Damak.
“Semalam kita agihkan bantuan kepada penerima di DUN Damak dan Tahan manakala hari ini untuk DUN Pulau Tawar pula,” katanya kepada pemberita selepas agihan bantuan kepada murid-murid terlibat di Galeri Mat Kilau di sini hari ini.
Menurutnya, bantuan khas itu diberikan kepada murid yang kurang berkemampuan untuk melengkapkan keperluan persekolahan sesi 2019 yang baru bermula.
“Setiap murid menerima RM150 dan ibu bapa boleh menggunakan wang ini untuk selesaikan bayaran tertentu di sekolah,” ujarnya.
Nazri memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan RM250,950 untuk diagihkan kepada mereka yang layak di daerah ini.
“Kita membuat sistem tapisan yang ketat pada tahun ini bagi mengelak murid berkelayakan daripada tercicir.
“Kita mahu agihan ini dibuat dengan telus dan tidak ada pihak mengambil kesempatan untuk mendapatkan bantuan daripada Yayasan Pahang,” jelasnya.
Selain bantuan khas persekolahan, Yayasan Pahang turut memperuntukkan sumbangan kepada pesakit kritikal dan mangsa bencana alam. – K! ONLINE










