SHAH ALAM – Sebanyak 1.5 tan pelbagai jenis ikan serta 500 kilogram ayam berjaya dijual dalam Program Jualan Ikan Murah di Seksyen 18 hari ini.
Program tersebut adalah anjuran bersama UMNO Bahagian Shah Alam dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) 9-14 Seksyen 18.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, program tersebut merupakan inisiatif pihaknya dan persatuan penduduk untuk membantu masyarakat yang tertekan dengan harga barang keperluan yang semakin meningkat.
“Kita tidak boleh terus bercakap tanpa sebarang usaha untuk membantu rakyat membeli barang keperluan dengan harga berpatutan.
“Program itu mendapat sambutan menggalakan dengan 300 orang hadir membeli ikan termasuk jenis cencaru, ikan mambong, ikan sardin dan ikan siakap, “katanya ketika ditemui semasa program itu hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland, Azhari menegaskan pihaknya akan turun membantu kempen pada minggu depan.
Jelas beliau, peluang Barisan Nasional untuk mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut adalah cerah memandangkan calon adalah orang tempatan.
“Ini dinamakan memahami permasalahan setempat yang kebanyakannya dalam kalangan orang Asli dan Melayu,” katanya. – K! ONLINE










