SELAIN Rahim Kajai, A Samad Ismail, Said Zahari dan Pak Sako, namanya pasti dirujuk apabila memperkatakan tentang kewartawanan dan persuratkhabaran negara ini. Walaupun terpisah dengan gerakan wartawan Melayu yang awal di Singapura tetapi kehadiran sebagai wartawan Melayu pasca merdeka memberi kesan yang besar.
Sosok ini memahat nama pada mercu tanda kewartawanan bukan sahaja kerana sangat kontroversi malah berani berterus terang hingga sinonim dengan tanggapan sebagai ketua pangarang paling lantang dan garang. Pernah dibuang menjadi terbuang tetapi terus terbilang hingga akhir usianya. Semua lurah dan jeram pengalaman itu tidak pernah mengendurkan malah menguatkan sikapnya yang kritikal.
Demikianlah Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin atau lebih dikenali sebagai Zam yang menutup usia 79 tahun pukul 6.20 petang Jumaat lalu di Hospital Serdang, Selangor. Allahyarham dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 12 November kemudian dipindahkan ke wad CCU Hospital Serdang.
Zam dilahirkan di Kota Kuala Mudah, Kedah pada 26 Jun 1939, tahun yang sama lahirnya akhbar milik Melayu yang pertama, Utusan Melayu. Jalur dan garis takdir menentukan Zam yang bermula dengan wartawan sambilan Utusan Melayu di Alor Setar ketika berusia 18 tahun akhirnya memimpin akhbar yang memperjuangkan kemerdekaan itu.
Terbina takah demi takah kerjayanya di akhbar seusianya hingga yang tertinggi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada 1983 hingga 1992. Sekalipun selepas keluar daripada Utusan Melayu tetapi hingga akhir hayatnya Zam terus menganggap dirinya sebagai ‘anak Utusan’.
Allahyarham barangkali generasi terakhir wartawan yang membina kerjaya hingga takah tertinggi tanpa didikan akademik dalam kewartawanan. Cuma selepas menjadi wartawan Utusan Melayu tahun 1969, Allahyarham mendapat peluang melanjutkan pengajian peringkat diploma di Institut Kewartawanan Berlin, Jerman dan mengikuti program Professional Journalism Fellowship di University Michigan, Amerika Syarikat pada 1981.
Allahyarham dianggap ensaiklopedia bergerak mengenai sejarah Utusan Melayu, Tunku Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew. Zam kerap melontarkan kritikan yang tajam terhadap dasar-dasar Lee Kuan Yew tetapi pada masa sama sangat mengagumi pemimpin itu.
“Hanya Lee Kuan Yew yang boleh mengajar orang Cina,” tegas Zam dalam satu tulisannya di Utusan Malaysia yang merujuk isu sekolah vernakular yang suatu ketika dulu tidak boleh diusik di Malaysia, sedangkan Lee Kuan Yew mengharamkan sekolah vernakular Cina di Singapura.
Zam memperlihatkan kesungguhan berterusan untuk memerangi sikap ekstrem terutama dalam isu kaum tetapi pada masa sama Allahyarham seorang nasionalis yang sentiasa memerhati dan tanpa rasa ragu dan apologetik menegur sikap ‘selesa’ bangsanya sendiri.
Zam menjadi kontroversi apabila dinaikkan menjadi Penasihat Jabatan Pengarang (sebenar dipecat daripada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu oleh UMNO) pada 1992. Tempat Allahyarham diisi oleh Johan Jaaffar (sekarang Tan Sri) dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ketika menjadi Ketua Pengarang Kumpulan, Allahyarham membuktikan kemampuan menangani isu-isu besar lagi kontroversi bagi meredakan kegelisahan rakyat terutama orang Melayu. Antaranya ketegangan dalam kalangan orang Melayu yang tidak dapat menerima kenyataan UMNO diharamkan pada 1988.
Buktinya gaya persembahan Utusan Malaysia dan Utusan Melayu selepas pengharaman UMNO bukan lagi mengejar nilai berita tetapi berita yang mereda dan menenangkan orang Melayu. Isu-isu besar lain era kepimpinan Zam ialah pindaan Perlembagaan yang mengehadkan kuasa Sultan dan pertembungan sengit Dr. Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang membawa kepada perpecahan UMNO dan seterusnya diharamkan pada 1988.
Suatu ketika dulu ketika ditanya peristiwa yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang kerjaya sebagai wartawan, Allahyarham berkata, “Saya jangka dipenjarakan. Semua Ketua Pengarang akan dipenjarakan apabila Dr. Mahathir kalah dalam pertarungan dengan Ku Li. Alhamdulillah perkara itu tidak terjadi.”
Sementara itu, Sasterawan Negara A Samad Said ketika ditemui semasa majlis pengebumian Zam di Klang Gate semalam berkata, walaupun tidak pernah bekerja satu pejabat dengan Zam tetapi dalam lingkaran kewartawanan mereka sangat akrab.
“Zam tidak lupa kawan-kawan ketika kerjayanya di puncak. Cuma saya agak segan berjumpa dia. Masa jadi Menteri Penerangan, Zam selalu mengundang saya menjayakan program RTM. Saya terkesan dengan usaha-usahanya membangunkan seni dan budaya khususnya di RTM waktu itu,” tegas A. Samad Said.
Ketika A Samad melancarkan mogok seni pada pertengahan 1990-an sebagai protes terhadap DBP, Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (jawi) ke depan menyiarkan isu itu. Malah Zam mengarahkan gambar A Samad yang bercermin mata ala John Lennon dan menggalas beg kanvas biru disiarkan dalam muka depan Utusan Malaysia, di ruang yang selalunya diisi gambar Perdana Menteri.
Selepas tidak lagi menjadi Menteri, Zam terus menulis di blognya, Zamkata yang muncul antara blog popular dan sering dipetik oleh media arus perdana dan portal berita. Zam juga menulis beberapa buku antaranya Mahathir Di Sebalik Tabir yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris. Buku ini muncul sebagai buku terlaris suatu ketika dulu. Kemudian menulis buku sejarah Utusan Melayu, Di Depan Duri Di Belakang Api, Wira Tidak Didendang, Tun Razak: Jejak Seorang Patriot dan Saya Bukan Menteri.










