Wujud unsur-unsur menutup kes kematian Adib - Utusan Malaysia

Wujud unsur-unsur menutup kes kematian Adib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Bekas ahli UMNO yang kini menyertai DAP, Aspan Alias membayangkan terdapat unsur-unsur dan usaha untuk menutup kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang terbunuh dalam rusuhan kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini.

ASPAN ALIAS
ASPAN

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan supaya tetap berpendirian teguh berdasarkan realiti semasa.

Malah, beliau mempertikaikan pihak berkuasa yang sehingga kini masih tidak mengheret tertuduh ke muka pengadilan.

“Mari kita berdiri teguh pada realiti. Terdapat unsur-unsur percubaan menutup dan ia tidak boleh dicegah.

“Pihak berkuasa mengetahui siapa suspek, mengapa mereka tidak dikenakan pertuduhan sehingga hari ini, atau sekurang-kurangnya ditahan reman. Fikiran orang ramai menjadi tidak aman dan tenang apabila terjadi seperti ini terjadi di depan mata sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Tambah Aspan, seluruh rakyat turut terkejut dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan kenyataan mengenai inkues kematian Muhammad Adib.

“Tan Sri Muhyiddin, adakah anda berfikir bahawa kita hanya mempunyai najis atau lumpur di kepala kita? Apa yang hendak kamu buktikan Tan Sri?,” soal Aspan.

Khamis lalu, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa majistret akan diarah melakukan satu inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Muhyiddin berkata, perkara berkenaan dimaklumkan sendiri Peguam Negara Tommy Thomas kepadanya melalui perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu pihak polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN