NAYPYITAW, Myanmar – Jaguh renang negara, Welson Sim berjaya melunaskan impiannya untuk merangkul lima pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN 2018 (AUG 2018) kali ini apabila melengkapkan pingat kelimanya semalam.
Atlet dari Sarawak itu membantu kuartet negara yang turut dibarisi Tern Ean Han, Foong Wei Tze dan Keith Lim Kit Ser muncul juara dalam acara 4×200 meter rampaian berganti-ganti dengan melakukan catatan tujuh minit 38.82 saat (s).
Sebelum itu, Keith Lim yang turun dalam acara 50m turut merangkul pingat emas selepas melakukan catatan masa 23.60s menyaksikan skuad renang negara meraih tujuh pingat emas sekali gus melepasi sasaran lima emas sebelum ini.
Pusat Akuatik Wunna Theikdi menjadi saksi Welson mengotakan janjinya untuk meraih lima emas apabila dia sebelum itu menyumbang emas dalam acara 400 meter (m) gaya bebas dengan rekod baharu kejohanan iaitu 3:55.02s
Pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara itu terus mempamerkan renangan bertenaga untuk merangkul pingat emas 200m gaya bebas, sekali lagi dengan rekod baharu kejohanan iaitu 1:48.42s memadam catatan lama 1:50.79s.
Pingat emas ketiga Welson hadir menerusi acara 4x100m gaya bebas bersama-sama Keith Lim, Foong Wei Tze dan Chan Jie sebelum meraih satu lagi pingat emas dengan rekod baharu kejohanan dalam acara 100m gaya bebas individu dengan catatan 50.03s mengatasi rekod lama 50.22s kelmarin.











