Wanita rayu bantuan derita kanser payu dara tahap tiga - Utusan Malaysia

Wanita rayu bantuan derita kanser payu dara tahap tiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM – Seorang wanita di sini merayu bantuan orang ramai untuk membiayai kos rawatan mingguan kanser payudara tahap tiga dialami dan sara hidupnya. 

Laila Hayati Abdullah, 42, berkata, dia disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada April lalu dengan tahap kesihatannya mula merosot sejak dua bulan lalu sehingga tidak lagi berupaya untuk bekerja.

“Sebelum ini, saya bekerja di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM1,300 sebulan namun hanya mampu terlantar di rumah sahaja disebabkan kesakitan pada tulang pinggang.

“Malah, saya juga pernah berada selama tiga hari menerima rawatan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam akibat kesakitan tersebut,” katanya di sini hari ini. 

Laila Hayati yang menetap di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap di sini, memberitahu segala perbelanjaan kini ditanggung sepenuhnya suaminya, Azman Sahadi, 47, yang bekerja mengambil upah mengait buah sawit dengan purata pendapatan RM300 sebulan. 

“Hasil pendapatan suami ini digunakan membeli ubat cuci luka berjumlah RM45 setiap minggu di farmasi. 

“Selain itu, Azman juga terpaksa menanggung tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu suaminya yang masih bersekolah,” jelasnya. 

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan atau sumbangan ke akaun CIMB Bank 12100001491204 atas nama Laila Hayati Abdullah atau menghubunginya di talian 011-35671376 atau 013-2915166. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×