Wanita bogel, amuk - Utusan Malaysia

Wanita bogel, amuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 24 Dis. – Wanita yang menggemparkan kawasan pelancongan di hadapan sebuah hotel di Wakaf Che Yeh di sini dengan berbogel dan mengamuk pada pukul 3.50 petang, 16 Disember lalu mendakwa dirinya dirasuk sehingga lupa diri.

Difahamkan, hasil soal siasat pihak polis mendapati wanita yang berusia 31 tahun dari Tum­pat itu menafikan dia melakukan perbuatan tersebut malah tidak sedar apa yang berlaku.

Siasatan juga mendapati suspek sepatutnya mendaftar keluar dari hotel itu pada pukul 12 tengah hari bagaimanapun tidak berbuat demikian sehingga pe­nga­wal keselamatan terpaksa memecah masuk bilik penginapannya selepas pintu yang berkunci diketuk berkali-kali.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebaik pintu dibuka pe­ngawal tersebut mendapati wanita itu sedang berselubung di atas katil dengan kain selimut sebelum dia memanggil staf wanita lain untuk membantunya.

“Suspek secara tiba-tiba me­ngamuk dan memukul pe­kerja wanita berkenaan beberapa kali sehingga lebam dan luka pada muka.

“Suspek kemudian dikatakan turun ke lobi dan menampar seorang kanak-kanak lelaki ber­usia lima tahun hingga terjatuh dan melemparkan lampu hiasan ke lantai menyebabkan kaki kanak-kanak tersebut luka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, tidak cukup dengan itu, suspek dipercayai telah ke dapur hotel untuk mengambil sebilah pisau sebelum keluar melalui pintu belakang dan mencederakan seorang wanita berusia 77 tahun sehingga mangsa terpaksa menerima empat jahitan di jari kanan.

Bagaimanapun, staf dan pe­ngawal keselamatan hotel ber­kenaan berjaya merampas pisau tersebut sebelum menahan suspek dan diserahkan kepada pihak polis.

“Hasil soal siasat awal suspek tidak mengaku telah bertindak sedemikian dan menyatakan dirinya telah dirasuk. Hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Malah, ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod sebagai pesakit mental,” katanya.

Tambahnya, mangsa disambung reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506, Seksyen 427 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, perbuatan khianat dan mencederakan.

Pada 17 Disember lalu, Utusan Online melaporkan mengenai satu klip video yang tular di laman sosial berhubung seorang wanita yang bertindak di luar batasan. Wanita yang berkulit putih melepak itu dikatakan telah menanggalkan kesemua pakaiannya di hadapan hotel tersebut.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×