KUALA LUMPUR 25 Dis. – Polis memburu dua lelaki terlibat dalam kes ragut yang mencederakan seorang wanita dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras, Sungai Long, Kajang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdulllah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 39 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan siku.
“Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang berjalan menuju ke kenderaannya selepas selesai makan malam bersama rakan-rakannya diragut dua lelaki menaiki motosikal.
“Mangsa sudah membuat laporan polis pada pukul 4 petang tadi dan kita juga dimaklumkan terdapat rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan kejadian selepas wanita tersebut diragut turut tersebar di aplikasi WhatsApp dan laman Facebook,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Tambah Mohd. Sabri, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut, boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sallena Mhd. Sallehudin di talian +60176424007,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










