KUALA KANGSAR – Sebuah kereta didapati dipandu secara melawan arus di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak.
Aksi berbahaya tersebut berjaya dirakam orang awam dan tular di media sosial sejak semalam.
Perbuatan berbahaya yang dilakukan seorang pemandu belum dikenal pasti itu mendapat pelbagai reaksi termasuk kecaman daripada pengguna media sosial.
Difahamkan, kereta tersebut dipandu menuju ke arah selatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Zahiri Hassan ketika dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, pihak PLUS sendiri sedang cuba mengesan kenderaan berkenaan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Setakat ini kita tiada maklumat mengenai kejadian tersebut dan kereta berkenaan kini sedang dikesan dengan menggunakan pelbagai kaedah selain bekerjasama dengan pihak PLUS.
“Kita juga tidak pasti lokasi sebenar kejadian itu sama ada berlaku di Kuala Kangsar atau di tempat lain. Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE










