PORT DICKSON 6 Dis. – Harimau menduduki senarai teratas haiwan liar yang menjadi tumpuan dalam kalangan pemburu haram termasuk warga asing di negara ini.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, selain itu, orang utan, beruang matahari dan tenggiling juga menjadi pasaran untuk dijual di pasaran gelap.
Katanya, harimau yang ditangkap dijual dengan harga antara RM416,000 hingga RM833,000 seekor.
“Apa yang membimbangkan ialah ada antara pemburu haram ini datang dari Vietnam, Kemboja dan Laos. Sejak lima tahun lalu, sejumlah 70 pemburu haram termasuk warga asing berjaya ditahan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, pasaran gelap bagi haiwan daripada spesies terancam yang dilindungi undang-undang ini hanya dapat dihentikan jika orang ramai berhenti membelinya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pelupusan 2.8 tan sisik tenggiling dianggarkan bernilai RM36.6 juta di pusat rawatan dan pelupusan sisa bahan terjadual negara, Kualiti Alam Sdn. Bhd., dekat sini hari ini.
Sisik berkenaan dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tiga operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLlA) di Sepang dan Pelabuhan Barat Klang, masing-masing di Selangor tahun lalu.
Xavier Jayakumar berkata, sehingga kini, jumlah harimau di negara ini adalah kira-kira 300 ekor berbanding 3,000 ekor tidak lama dahulu.
Tegasnya, anggapan bahawa daging dan organ haiwan liar boleh memberi khasiat untuk kesihatan manusia adalah tidak benar.










