KUANTAN – Tujuh lelaki berusia 32 hingga 44 tahun dikenakan perintah reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes membelasah seorang pemandu bas ekspres di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali semasa dihubungi berkata, semua lelaki berkenaan ditahan reman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Mengulas kejadian pukul 1.30 pagi semalam, Mohamad Noor berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan pemandu bas berusia 32 tahun terbabit enggan membayar penuh bagi harga nasi lemak yang dibeli di sebuah gerai di hentian tersebut.
“Berdasarkan keterangan pelayan gerai, nasi lemak dijual RM3 tetapi untuk pemandu bas, lori dan pelanggan tetap, diskaun diberi pada harga RM2.
“Tetapi, pemandu bas ekspres itu hanya membayar RM1 menyebabkan berlaku pertengkaran seperti video yang tular di laman sosial Facebook semalam,” ujar beliau semasa dihubungi pemberita di sini.
Mohamad Noor berkata demikian mengulas kejadian seorang pemandu bas dibelasah sekumpulan lelaki di kawasan meletak kenderaan berat di R&R Gambang di sini semalam.
Beberapa pihak mendakwa kejadian itu disebabkan pemandu bas berkenaan menegur pelayan gerai tersebut kerana mengeluarkan kata-kata biadap ketika ingin memesan makanan sehingga membawa kepada pergaduhan.
Difahamkan, pelayan gerai tersebut merupakan adik kepada salah seorang lelaki yang ditahan reman kerana memukul pemandu bas berkenaan semasa kejadian.
“Terdapat dakwaan mengatakan mangsa tidak mengasari pelayan berkenaan. Mengikut keterangan pelayan gerai terbabit, dia mendakwa dicekik, dipukul di belakang kepala dan ditendang sebelum membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, polis turut menahan pemandu bas ekspres terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 1.15 pagi tadi (semalam) selepas memberi keterangan,” katanya. – K! ONLINE










