KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sudah menghantar dua sukarelawannya untuk memberi bantuan asas ke kawasan yang terjejas akibat tsunami yang melanda Selat Sunda, Indonesia, 22 Disember lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, dua sukarelawan berkenaan yang juga aktivis Angkatan Pertahanan Malaysia tiba di kawasan terbabit semalam.
“Pada asalnya mereka berada di Palu untuk projek di perkampungan berkenaan, jadi lepas kejadian tsunami Selat Sunda berlaku, saya arahkan mereka ke sana untuk salurkan bantuan.
“Semalam, mereka berjaya masuk ke kawasan kritikal dan seperti kita sedia maklum, terdapat beberapa kawasan yang kritikal antaranya di Pantai Carita, Pantai Sumur dan sebagainya. Pasukan kita telah berjaya masuk ketiga-tiga kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Ahmad Sani berkata, hari ini pasukan tersebut mula mengedarkan pek makanan, ubat-ubatan dan barangan asas untuk mangsa tsunami selain turut membantu mengeluarkan mayat mangsa tragedi. – Bernama










