WASHINGTON 19 Dis. – Panel keselamatan yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan supaya setiap sekolah mempertimbangkan penggunaan senjata api untuk kakitangan dengan pengawasan veteran tentera.
Panel Suruhanjaya Persekutuan Keselamatan Sekolah diketuai, Setiausaha Pendidikan, Betsy DeVos dalam laporan mereka menolak cadangan untuk meningkatkan umur minimum untuk membeli senjata.
Ini kerana, kebanyakan penembak di sekolah mendapatkan senjata dari ahli keluarga atau kawan.
“Sebaliknya panel ini mencadangkan kakitangan sekolah dibekalkan senjata, termasuk guru dalam keadaan tertentu, bertujuan untuk bertindak balas serta-merta terhadap keganasan.
“Ini memberi manfaat terutama untuk sekolah di kawasan luar bandar, kerana tindak balas polis mungkin agak lambat,” kata panel itu, semalam.
Panel itu ditubuhkan Februari lalu, susulan kejadian pembunuhan beramai-ramai di Parkland, Florida, membabitkan seorang bekas pelajar menembak 17 orang sehingga mencetuskan bantahan kawalan senjata api.
Laporan setebal 180 muka surat panel itu turut mencadangkan pihak berkuasa pendidikan menggunakan perkhidmatan veteran tentera atau polis.
Pada masa sama, suruhanjaya itu mendesak garis panduan disiplin yang diperkenalkan pada 2014, semasa pemerintahan bekas Presiden Barack Obama yang mencadangkan alternatif untuk menggantung dan buang sekolah dalam usaha menangani diskriminasi terhadap pelajar pelajar berkulit gelap dan Latin, disemak semula.
Dakwa laporan itu, tindakan berkenaan mempunyai kesan yang negatif terhadap disiplin sekolah dan keselamatan. Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika mengutuk cadangan itu. – AFP










