MENJELANG perhimpunan aman membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 esok, makin galak pula pihak-pihak tertentu menyebar kekeliruan bagi memperlekhkan bantahan rakyat kepada konvensyen berkenaan.
Berikut pencerahan dalam soalan lazim (FAQ) kenapa ICERD perlu ditolak sampai bila-bila kerana bertentangan peruntukan Perlembagaan seperti disediakan wartawan Utusan Malaysia, HERMAN HAMID.
1) ICERD menentang diskriminasi kaum, kenapa nak bantah?
Ini hujah dangkal, kita menyokong Perlembagaan Persekutuan yang menyebut hak sama rata setiap rakyat tetapi pada masa sama Perkara 8 (2) membenarkan diskriminasi positif atau tindakan afirmatif jika dinyatakan dalam Perlembagaan. Ini yang kita pertahankan, bukan membaca Perlembagaan sekerat-kerat.
2) Bukankah Artikel 1 (4) ICERD juga membenarkan tindakan afirmatif seperti mana Perkara 153?
Artikel ini yang digunakan pro-ICERD termasuk Majlis Peguam dan pemimpin kanan parti tertentu yang memperjuangkan hak sama rata. Awas jarum halus, mereka tidak ceritakan sepenuhnya tentang Artikel 1 (4) ICERD yang di hujungnya ada menyentuh tempoh masa.
3) Bagaimana pula dengan Perkara 153?
Peruntukan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera tidak pernah menetapkan had masa. Isu had masa juga ada sejarahnya kenapa tidak dimasukkan dalam Perkara 153 oleh pejuang kemerdekaan. Jadi, selepas 62 tahun mengapa mahu buka ruang yang telah ditutup.
4) Pro-ICERD mendakwa, kuasa raja-raja Melayu tidak terjejas dengan ratifikasi?
Memang Malaysia akan kekal dengan sistem monarki kalau ICERD diratifikasi sekalipun tetapi baca Perlembagaan bagi habis. Kalau ICERD menyentuh Perkara 153, ini juga melibatkan kuasa raja-raja sebagai pelindung peruntukan itu yang termaktub dalam Perlembagaan.
5) Bukankah puluhan negara Islam meratifikasi ICERD?
Ini dibangkitkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam. Untuk jawab ini baca kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan pada 24 November lalu. Kata Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri: “adalah tidak sesuai untuk diterima (ICERD) kerana sejarah, adat dan uruf setempat yang berbeza”. Ini kenyataan ulama, bukan ahli politik.
6) Kenapa Malaysia berbeza?
Perlembagaan digubal berdasar sejarah negara masing-masing. Perlembagaan Persekutuan berteraskan kontrak sosial. Jadi setiap satu negara tidak sama. Arab Saudi laksana hudud, tetapi di Malaysia tidak. Bolehkah Kelantan guna hujah itu balik kepada Kit Siang untuk kuatkuasakan hudud hanya kerana peratus penduduk Islam yang tinggi?
7) Tidak meratifikasi ICERD hanya meletakkan Malaysia seperti Korea Utara dan Myanmar?
Ini hujah merendahkan himpunan aman anti-ICERD. Kenapa pula tidak bagi contoh Israel yang telah ratifikasi ICERD? Tanpa ICERD, Malaysia lebih awal lantang menentang dasar apartheid, menentang kezaliman Israel dan layanan buruk kuasa besar. Yang penting, kita tolak diskriminasi kaum seperti mana peruntukan Perlembagaan.
8) Indonesia sudah ratifikasi ICERD, jika diambil negara itu sebagai contoh?
Laporan CERD mengalu-alukan pengguguran istilah pribumi dan bukan pribumi di Indonesia. Namun melihat Republik itu, mereka juga ada isu, daripada bekas Gabenor Jakarta sehinggalah terbaru himpunan 2 Disember lalu. Baca perkembangan Indonesia apabila kekayaan dimonopoli satu golongan. Walau sudah 20 tahun ratifikasi ICERD, namun konvensyen itu bukan penyelesaian mutlak. Yang penting keseimbangan masyarakat dan ini tujuan Perkara 153 dimasukkan dalam Perlembagaan. Apa pun, itu hak setiap negara mahu ratifikasi atau tidak.
9) Kenapa konsep sama rata Malaysia perlu dalam acuan tersendiri?
Buka Perlembagaan, ada lebih 50 perkataan Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak. Paling penting dalam konteks ICERD ialah kedudukan istimewa Melayu, tanah rizab Melayu dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Peruntukan ini bukan bermaksud diskriminasi menindas kaum lain, tetapi satu bentuk diskriminasi positif untuk keseimbangan. ICERD tidak tolak tujuan ini, cuma sekali lagi Perlembagaan tidak menyatakan had masa berbanding ICERD.
10) Penolakan ICERD akibat kekeliruan, politik toksik perkauman dan agama?
Siapa paling banyak bercakap hak sama rata tanpa merujuk kesamarataan yang dinyatakan dalam Perkara 8 (1), (2) dan peruntukan lain dalam Perlembagaan? Kalau ICERD terang-terangan bertentangan Perkara 153 dari sudut tempoh masa pelaksanaan, maka siapa sebenarnya yang keliru? – UTUSAN ONLINE










