TLHT giat buru penyerang import - Utusan Malaysia

TLHT giat buru penyerang import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIGA negara menjadi sasaran Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) dalam misi mencari seorang penyerang import sebelum saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) 2019 membuka tirainya bermula 10 Januari hingga 16 Februari depan.

Wakil Pantai Timur itu kini giat memburu khidmat penyerang dari Australia, Belanda atau India bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu selepas menyedari saingan sengit daripada tiga pencabar menjelang musim baharu nanti.

TLHT yang sudah diperkuatkan dengan lima pemain kebangsaan dan empat tenaga import bakal berdepan cabaran daripada juara bertahan, PKS Uniten selain penyandang juara Piala Vivian May Soars 2018 iaitu Blue Warriors dan pasukan jemputan dari China, Kelab Hoki Liaoning Infinite Space.

Ketua jurulatih TLHT, Iman Gobinathan juga mengakui kehadiran dua bekas bintang PKS Uniten, Wan Norfaiezah Md. Saiuti dan Fatin Shafika Mahd. Sukri menyuntik semangat skuad bimbingannya dalam memburu dua gelaran yang dipertandingkan musim depan.

“Kami sudah dapat seorang pemain Kazakhstan, seorang dari Indonesia dan dua dari India. Tinggal seorang penyerang sahaja lagi kami mahukan dengan sasaran pemain dari Australia, Belanda dan India.

“Kami bertuah kerana mendapat khidmat Wan (Norfaeizah) dan Jay (Fatin Shafika). Saya akui Wan ialah salah seorang pemain terbaik di Malaysia buat masa ini.

“Sokongan daripada semua pemain amat penting kerana seorang pemain tidak boleh menjadikan pasukan ini hebat. Saya dapat rasakan persaingan kali ini lebih sengit dan mencabar berban­ding saingan tahun lalu,” katanya.
Selain Wan Nofaeizah dan Fatin Shafika, tiga lagi pemain kebangsaan menyarung jersi TLHT musim depan ialah kapten Malaysian Tigress, Siti Noor Amarina Ruhani, Juliani Mohamad Din serta Nur Syafiqah Mohd. Zain.

TLHT yang dikendalikan Muhammad Harun Al-Rashid Samri pada musim lalu sekadar menduduki tempat ketiga pada sai­ngan liga dan meraih pencapaian sama dalam kancah Piala Vivian May Soars 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×