KUALA LUMPUR 8 Dis. – Sepucuk surat yang diedarkan kepada penduduk di Residensi M Ampang kelmarin menjadi tular di laman Facebook hari ini selepas didapati menuduh peserta #DaulatHimpunan812 yang menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai ekstrem.

Menerusi surat yang dikeluarkan oleh Badan Pengurusan Bersama residensi tersebut, pihaknya memaklumkan pejabat tidak beroperasi hari ini disebabkan himpunan tersebut dan menasihatkan penduduk untuk menghabiskan masa di rumah.
Malah, kandungan surat itu juga menuduh kononnya akan berlaku perlanggaran undang-undang oleh peserta perhimpunan dan seramai 120 peguam telah bersiap sedia di kawasan tersebut.
Lebih mengejutkan apabila isi kandungan surat itu mendakwa kononnya peserta perhimpunan dijangka dihadiri seramai 50,000 hingga 500,000 orang daripada kumpulan Melayu ekstrem iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang telah memberi ancaman rusuhan pada 2 Disember lalu.
Selepas menerima kecaman daripada netizen, akhirnya pihak pengurusan tersebut melakukan pusingan U dan surat asal yang berbaur perkauman dengan empat perenggan kini hanya tinggal dua perenggan dengan permohonan maaf dibuat.
Menerusi surat terbaharu yang diedarkan semalam, pihaknya memohon maaf dan memaklumkan kononnya surat asal yang diedarkan itu tidak mewakili pendirian badan pengurusan residensi tersebut.
“Kita hanya ingin memaklumkan pejabat ditutup dan memberi peringatan kepada penduduk mengambil langkah berjaga-jaga. Kami memohon maaf sekali lagi.
Sekiranya terdapat pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di 03-26002222 atau bilik kawalan di 03-42662990,” katanya dalam surat tersebut di sini, semalam. – UTUSAN ONLINE










