PULAU PINANG 28 Dis. – Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak dapat menahan rasa sebak ketika berkongsi kesedihan kehilangan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24.
Dalam nada tersekat-sekat dan beberapa kali menyekang air mata, baginda berkongsi saat sewaktu mencemar dulu menziarahi Muhammad Adib ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 30 November lalu.
Ketika itu, titah Sultan Nazrin, baginda berkesempatan menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada kedua-dua ibu bapa Muhammad Adbib iaitu Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Azma Aziz sambil mendoakan bersama seluruh rakyat Malaysia supaya Muhammad Adib dapat diselamatkan.
“Meskipun para doktor menjalankan segala usaha yang terdaya, Allah jua yang Maha Berkuasa, penentu kepada segala-galanya.
“Pada jam 9.41 malam, 17 Disember 2018, Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir, kembali menemui Penciptanya, ketika baru berusia 24 tahun,” titah baginda penuh sebak.
Sultan Nazrin bertitah demikian dalam majlis pengurniaan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Hakim serta Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di sini hari ini.
Titah baginda, seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Allahyarham Muhammad Adib. – UTUSAN ONLINE










