KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti semula status pengundi berumur 90 tahun ke atas yang berdaftar di dalam senarai pemilih bagi mengenalpasti sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, penelitian tersebut telah dilakukan selepas sebulan beliau menjawat jawatan itu bermula 21 September lalu.
“Setakat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), terdapat seramai 73,000 pengundi yang melebihi usia 90 tahun dengan pemilih tertua yang direkodkan adalah berusia 150 tahun.
“Daripada jumlah itu, hanya 11,000 telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai mengundi.
“Justeru itu, kita akan semak baki 62,000 pengundi warga emas yang tidak mengundi sama ada mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran program sidang meja bulat Electoral Reform of Malaysia anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersih di Parlimen di sini semalam.
Pada 26 Mac lalu, sebuah portal berbahasa Melayu melaporkan DAP telah mempersoalkan nama seorang lelaki berumur 150 tahun, Mohd. Said Mohd. Arshad yang tersenarai dalam senarai pemilih rasmi SPR bagi PRU-14 pada 9 Mei lalu.
Berdasarkan rekod, Mohd. Said yang dilahirkan pada 1 Januari 1868 dengan kad pengenalan bernombor 680101-13-0069 merupakan pengundi berdaftar di daerah mengundi Krokop di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut dalam Parlimen Miri, Sarawak.
Menurut Azhar Azizan lagi, SPR juga sedang mengenalpasti kes pengundi yang mempunyai lebih daripada satu alamat bagi mengesan lokasi sebenar tempat mereka mengundi.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, SPR belum boleh mengumumkan tarikh Pilihan Raya Kecil bagi DUN Rantau berikutan masih ada ruang bagi proses rayuan dikemukakan oleh pihaknya.
“Kita masih tidak boleh mengumumkan lagi sebab kena tunggu rayuan habis.
“Hal ini kerana Mahkamah Persekutuan mempunyai tempoh enam bulan untuk memutuskan keputusan rayuan tersebut tetapi saya rasa ia akan diputuskan lebih awal,” jelasnya.
Rabu lalu, SPR memutuskan untuk merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangan kerusi DUN Rantau dalam PRU-14 sebagai terbatal dan tidak sah.











