Bercakap dalam tidur atau mengigau antara perkara biasa yang pernah dialami kebanyakan orang terutamanya apabila sangat letih ketika di siang hari atau mengalami mimpi ngeri ketika sedang tidur.
Namun, sejak kebelakangan ini timbul pula satu ‘penyakit baharu’ ketika tidur yang dikenali sebagai sleep texting atau menaip mesej ketika tidur dengan menggunakan telefon bimbit atau telefon pintar.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat dengan melibatkan sebanyak 372 penuntut kolej dalam lingkungan umur 19 tahun baru-baru ini mendapati ketika ini penyakit tersebut semakin menghantui remaja dan penuntut kolej.
Secara mudahnya, gejala sleep texting berlaku apabila individu yang sedang tidur bertindak balas dan menghantar semula mesej apabila bunyi beep atau buzz daripada telefon bimbit mereka memberi isyarat terhadap panggilan yang masuk. Gejala tersebut boleh berlaku sekali atau banyak kali ketika waktu tidur sehingga mengganggu kualiti dan waktu tidur seseorang itu
Menerusi kajian bertajuk Gangguan semasa tidur: Penuntut kolej tidur bersama teknologi yang diterbitkan dalam Jurnal Kolej Kesihatan Amerika oleh Pensyarah Kejururawatan Universiti Villanova, Prof. Dr. Elizabeth B. Dowdell mendapati kebanyakan penuntut yang mengalami masalah sleep texting tidak dapat mengingati mereka pernah berbuat demikian.
Menurut Dowdell, kesukaran untuk mengingati semula beberapa perkara sebelum tidur bukan sesuatu yang mengejutkan kerana hasil kajian pakar sebelum ini mendapati kebanyakan orang biasanya tidak dapat mengingati semula beberapa perkara yang berlaku terhadap mereka dalam tempoh beberapa minit sebelum tidur.
Dalam kajian tersebut, Dowdell memfokuskan kepada penggunaan telefon bimbit ketika tidur, kualiti waktu tidur, berapa jam mereka tidur setiap malam dan di manakah mereka menyimpan telefon bimbit ketika tidur.
Menariknya, dalam kaji selidik itu, lebih satu pertiga atau sebanyak 25.6 peratus responden mengakui pernah mengalami gejala menaip ketika tidur manakala 72 peratus responden pula tidak dapat mengingati sama ada pernah berbuat demikian atau tidak.
Apa yang membimbangkan apabila dalam kaji selidik itu mendedahkan mesej-mesej yang ditaip ketika tidur adalah ‘merapu’ dan tidak menjawab soalan.
Selain itu, majoriti responden atau mewakili sebanyak 93 peratus mengakui meletakkan telefon bimbit berhampiran katil dan golongan penuntut perempuan paling banyak menggunakan telefon sebelum tidur dengan meletakkannya di atas badan, di bawah bantal atau di atas bantal.
Pada masa sama, lebih separuh responden pula tidak meletakkan telefon masing-masing dalam mod diam atau dalam mod getaran ketika tidur.
Bagaimanapun, disebabkan gejala tersebut biasanya hanya melibatkan golongan remaja, kemungkinan perkara tersebut bakal mendatangkan masalah kepada mereka selepas itu tidak timbul berbanding golongan pekerja yang sentiasa berurusan dengan majikan, rakan sekerja dan rakan perniagaan lain.
Pada masa sama, penyelidik juga yakin bahawa gejala tersebut boleh menjejaskan waktu tidur yang berkualiti dan potensi produktiviti seharian. Oleh itu, bagi mengelakkan daripada mengalami masalah tersebut ketika tidur, telefon pintar perlu diletakkan jauh dari tempat tidur.










