PASUKAN ragbi Malaysia 15 sebelah (15s) tiada pilihan selain perlu bekerja keras jika ingin kekal beraksi pada saingan Liga Premier Ragbi Asia (ARC) musim 2020.
Menjelang saingan ARC Premier 2019, format pertandingan kekal dengan tiga pasukan bersaing dan hanya dua pasukan teratas kekal manakala pasukan ketiga tercorot akan turun beraksi pada saingan Divisyen 1.
Bagaimanapun, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) telah merangka program terbaik buat skuad 15s negara apabila melantik bekas pemain All Blacks, Brad Mika dari New Zealand untuk mengendali pasukan ragbi negara.
Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil berkata, persiapan pasukan sudah bermula dan pemilihan 15 pemain terbaik untuk saingan ARC 2019 berjalan sejak saingan Piala Agong yang berlangsung Disember ini.
“Pasukan negara bernasib baik kerana kekal bersaing pada ARC Premier kerana tiada penyingkiran musim ini. Musim 2019 merupakan tugas berat kerana ada penyingkiran nanti.
Jadi, ini adalah cabaran utama skuad negara kerana pasukan tercorot akan tersingkir dan bermain pada Divisyen 1 kerana ARC Premier 2020 kekal dengan tiga pasukan.
“Justeru, KRM merangka semula latihan skuad ragbi 15s. Mereka akan berlatih di kem latihan pusat selama dua bulan dan akan memulakan latihan fasa pertama pada April nanti.
“Sebelum ini, mereka berlatih di kem latihan pusat penuh selama enam bulan dan kami dapati terdapat kekangan kerana pemain Malaysia bukan pemain profesional selain terikat dengan pekerjaan masing-masing.
“Oleh itu, KRM merasakan latihan selama dua bulan adalah yang terbaik. Kami harap cara itu jurulatih dapat perhatian penuh daripada pemain untuk berlatih,” katanya kepada Kosmo! semalam.










