SHAH ALAM, 5 Dis. – Kerajaan bersedia mengukur sempadan perairan Malaysia dan Singapura bagi melihat sama ada benar kapal Malaysia menceroboh perairan republik itu, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kita boleh ukur ia betul ke atau pun tidak, garisan mereka itu tak kena dan kita masih ada dalam kita punya own waters,” kata Perdana Menteri secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Bhd (UPUS) Ke-21 di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan mengatakan Singapura membantah rancangan Malaysia memperluaskan had pelabuhan di Johor Bharu dan menyifatkannya sebagai menceroboh perairan wilayah berkenaan.
Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, pihaknya meminta Malaysia menarik semula cadangan untuk meluaskan pelabuhan sebagai mencerminkan kedaulatan Singapura berhubung perairan, sementara Malaysia mempertahankan diri daripada mengambil sebarang tindakan lanjut sebelah pihak.
Ia juga mendakwa kapal Malaysia turut melakukan pencerobohan ke dalam perairan wilayah republik itu sejak 2 minggu lepas di luar Pantai Tuas, terletak di barat negaranya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa Singapura menarik balik Pekeliling Pelabuhan Marin yang dikeluarkan pada 30 November lalu kerana tindakan itu mencabuli kedaulatan Malaysia.
Katanya, negara jiran itu juga digesa menghalang agensi penguatkuasaannya daripada menceroboh wilayah laut Malaysia.
“Tindakan yang dilakukan oleh Singapura itu mencabuli kedaulatan Malaysia dan undang-undang antarabangsa.
“Sikap berkenaan tidak melambangkan semangat hubungan dua hala yang baik sekali gus menyebabkan kekeliruan terhadap komuniti perkapalan antarabangsa dan membawa peningkatan risiko pelayaran serta keselamatan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujar Anthony lagi, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura menerusi saluran diplomatik dalam mencari penyelesaian terbaik membabitkan isu itu.
“Malaysia sentiasa mempunyai dan terus mempunyai kedaulatan ke atas perairan dalam had pelabuhan untuk Pelabuhan Johor Bahru,” katanya.
Pada masa sama, Anthony berkata, sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Singapura telah melakukan penambakan tanah secara meluas di kawasan berkenaan.
“Selaras dengan undang-undang antarabangsa, wilayah laut Singapura tetap tidak berubah walaupun penambakan telah dilakukan hampir ke luar sempadan laut wilayah Singapura.
“Had pelabuhan Johor Bahru yang diubah adalah dalam wilayah laut Malaysia dan adalah hak mutlak Malaysia untuk memperluaskan pelabuhan di wilayah lautnya berdasarkan undang-undang negara tersendiri,” katanya.










