KUALA LUMPUR 6 Dis. – Kementerian Pendidikan meletakkan sasaran 60,000 orang termasuk mahasiswa dan guru di seluruh negara untuk memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) menjelang 2023, manakala majoriti guru sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana menjelang 2030.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, melalui usaha yang telah dijalankan kementerian sebelum ini, statistik menunjukkan pada 2017, seramai 22,342 pemegang PhD warganegara dari institut pengajian tinggi telah berjaya dilahirkan.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu, beliau berharap beberapa universiti awam dapat memberi kelonggaran dengan menukarkan jam kursus dan latihan yang dihadiri para guru kepada jam kredit pengajian ijazah sarjana.
Setakat ini ujarnya, kementerian sedang melakukan program libat urus (engagement) dengan beberapa universiti untuk tujuan itu.
Katanya, sasaran itu akan tercapai sekiranya kesemua mahasiswa dapat menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya lagi, kementerian kini bercadang meningkatkan program PhD menerusi skim-skim dan geran-geran penyelidikan.
“Kita lihat guru-guru kita. Kita memang ada skim untuk mereka melanjutkan pengajian. Ada dalam kalangan mereka diberi cuti belajar. Ini berterusan dan akan diteruskan.
“Kita ingin guru-guru kita mempunyai ijazah sarjana dan PhD. Kita juga melihat kemampuan semasa dan insentif-insentif yang diberikan sehingga mereka (guru) menyelesaikan sarjana dan PhD,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang bertanyakan mengenai keistimewaan warga Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan pengajian PhD.









