KALAU sudah namanya pelaut sejati, segala kepayahan dan cabaran pasti tidak memberi sebarang kesan umpama peribahasa, alah bisa, tegal biasa. Begitulah juga Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda sanggup mengetepikan protokol demi meneruskan tradisi dan mematuhi peraturan ketika berada di laut.
Laksamana Pertama Baharudin Wan Md. Nor masih ingat, ketika itu beliau adalah Pegawai Memerintah KD Tun Razak. Sultan Sharafuddin ada bersama di dalam kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu belayar di Selat Melaka pada 1 Julai 2010 dan di Laut China Selatan, 25 Julai 2011.

Baginda sebenarnya lebih berhak untuk menggunakan kabin Pegawai Memerintah dan sememangnya ruang disediakan untuknya. Namun baginda bertegas tidak mahu menggunakannya sebaliknya sanggup berhimpit di wisma pegawai yang sempit, berkongsi dengan beberapa pegawai lain.
Semua itu dilakukan baginda semata-mata tidak mahu mengganggu perjalanan operasi dan tugas Baharudin selaku Pegawai Memerintah.
“Tuanku bertitah bahawa peraturan seperti mana biasa hendaklah diteruskan demi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.
“Ini merupakan satu contoh sikap tuanku yang menghormati tradisi serta tugas rakyat walaupun tuanku sebenarnya tidak perlu berbuat demikian,” katanya yang kini menjawat tugas Inspektor Jeneral TLDM kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sultan Selangor yang merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM pernah belayar sebanyak dua kali bersama KD Tun Razak iaitu di Pangkalan TLDM Lumut setelah tiba dari Perancis pada 2010 dan semasa latihan 2011 di Laut China Selatan melibatkan penembakan peluru berpandu.
Menurut Baharudin, Sultan Sharafuddin adalah seorang pelaut yang sangat berpengalaman kerana walaupun dirinya seorang kepten kapal selam dan berkhidmat lebih 21 tahun dalam TLDM, beliau dapati baginda banyak nasihat, pandangan serta kebijaksanaan.
Antara titah baginda yang masih kekal di hatinya dan anak-anak kapal: “Beta faham tugas kamu luar biasa dan berbahaya. Namun biar sebesar mana bahaya atau serumit mana sekalipun keadaan, hadapilah dengan ikhlas demi Tuhan, bangsa dan negara. Insya-Allah segalanya akan menjadi mudah.”
Paskal
Hasrat Sultan Sharafuddin untuk melihat kejayaan Pasukan Khas Laut (Paskal) menggagalkan cubaan lanun warga Somalia merampas kapal dagang MISC Berhad, MT Bunga Laurel di Teluk Aden pada 2011 difilemkan menjadi kenyataan.
Lebih membanggakan, filem bertajuk Paskal The Movie yang memaparkan keberanian dan ketangkasan pasukan elit TLDM itu menjadi box-office.
Bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, ketika kejadian beliau adalah Panglima Armada.
“Selepas operasi itu selesai, saya menyembah taklimat kepada tuanku. Tuanku sangat bangga. Tuanku bertitah agar dibukukan, kalau boleh difilemkan kejayaan tersebut.
“Itulah yang menjadi dorongan kepada saya untuk berusaha dengan syarikat perfileman bagi pembikinan filem Paskal The Movie,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sultan Sharafuddin yang berkenan berangkat hadir ke tayangan khas bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ternyata bangga dengan filem berkenaan yang menonjolkan semangat patriotisme, pengorbanan dan setiakawan.
Sememangnya Paskal sangat dekat dengan hati Sultan Sharafuddin kerana baginda sendiri dianugerahkan Beret Kehormat dan lencana Paskal di atas segala jasa, sumbangan dan dedikasi kepada perkhidmatan komando TLDM itu.
Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman yang bakal bersara pada penghujung tahun ini melahirkan rasa bertuah dan bangga selama tiga tahun menjadi Panglima Tentera Laut di bawah kepimpinan baginda.
“Saya sentiasa rapat dengan tuanku. Saya sentiasa boleh menghadap untuk mendapat pandangan tuanku dalam banyak perkara dan isu.
“Tuanku sering memberi semangat, dorongan tetapi tuanku tetap menyerahkan kepada saya membuat keputusan.
“Kami warga TLDM sangat bertuah,” ujarnya.










