Ready To School 2019 - Utusan Malaysia

Ready To School 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA hari sahaja lagi tahun 2018 akan melabuhkan tirainya.

Antara yang difikirkan oleh ibu bapa menjelang awal musim persekolahan ialah yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG ) yang berbeza-beza mengikut sekolah. Dalam hal ini diharap pihak sekolah dapat menggunakan budi bicara untuk membenarkan bayaran ansuran sehingga suku tahun pertama. Ini semata-mata untuk meringankan bebanan ibu dan bapa, lebih-lebih lagi yang mempunyai anak lebih daripada seorang yang terpaksa ditanggung persekolahannya.

Pemansuhan yuran sekolah yang telah dimulakan sejak 2012 oleh kerajaan sebelum ini sememangnya amat meringankan bebanan. Apatah lagi dengan buku-buku teks percuma daripada kerajaan. Ini sebalik barangkali kekecewaan apabila Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 seorang telah dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Sebelum ini seramai 3.2 juta orang murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat daripada bantuan ini.

Bagi guru-guru pula, dalam fasa kerajaan baharu ini, sesi awal persekolahan tetap sama sahaja seperti tahun-tahun sebelum ini walaupun 12 inisiatif baharu diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk dilaksanakan pada 2019.

Antaranya, kanak-kanak warganegara asing dibenarkan bersekolah bermula tahun hadapan seperti kanak-kanak warganegara Malaysia. Jika melihat kepada slogan “pendidikan untuk semua”, mereka juga bakal menikmati yuran percuma.

Bagi warga pendidik khususnya guru-guru, inisiatif yang diperkenalkan oleh menteri pendidikan kebanyakan perkara biasa yang telah dilakukan oleh para guru sebelum ini. Antaranya mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan budaya hero teachers. Sebelum ini pun telah diadakan anugerah Guru Cemerlang oleh setiap sekolah bertujuan meningkatkan pengiktirafan profesion guru. Kepada golongan OKU pula, guru amat menyantuni mereka bagai anak sendiri sejak dahulu lagi.

Isu sekolah daif juga merupakan perkara lama yang sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan dalam memastikan setiap pelajar dan guru mendapat keselesaan semasa proses belajar.

Sementara soal guru tiada lagi kerja perkeranian dianggap hanya retorik semata-mata. Seperti kata pepatah “alah bisa tegal biasa” kerana kerja-kerja perkeranian dan mendidik pelajar-pelajar sudah sinonim dengan tugasan perguruan.

Memperkenalkan slot manual nilam yang akan dibacakan pada setiap perhimpunan dan memperkenalkan pendidikan sivik bukanlah suatu yang dinantikan oleh para guru. Mereka sedia maklum bahawa setiap kali ‘air bah, setiap kali juga pantai akan berubah’.

Sebaliknya perkara yang tidak pernah berubah dan sentiasa menjadi isu hangat setiap kali berlaku perubahan menteri pendidikan ialah isu beg yang berat. Kenapa terlalu sukar untuk mengatasi masalah ini?

Perkara yang dicadangkan oleh Maszlee untuk mengatasi masalah ini antaranya Penguatkuasaan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan Surat Siaran sedia ada, penggubalan garis panduan kepada murid, guru, ibu bapa dan sekolah serta menerusi kempen kesedaran dan hebahan maklumat.

Buatlah kempen apapun, jawapannya beg yang disandang hari-hari tetap berat, terutama yang membawa bekalan makanan ke sekolah.

Sudah sampai masanya dalam menuju dekad yang baharu, pelajar-pelajar di peringkat rendah diperkenalkan dengan penggunaan ilmu digital. Dalam masa sama menyediakan peti simpanan buku bagi setiap pelajar untuk kemudahan menyimpan segala buku-buku latihan tambahan dan sebagainya.

Selamat kembali bertugas kepada warga pendidik. Tanpa cikgu siapalah kita.

PENULIS ialah bekas guru bimbingan dan kaunseling, moderator serta aktivis masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×