Polis buru lelaki menyamar pegawai tentera - Utusan Malaysia

Polis buru lelaki menyamar pegawai tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN 29 Dis. – Polis sedang mengesan dua lelaki yang didakwa cuba memasuki sebuah kem tentera di sini dengan menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel baru-baru ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ramli Kasa berkata, laporan polis telah dibuat oleh pihak tentera semalam berhubung insiden yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada 8 Disember lalu.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, dua lelaki cuba memasuki kem tentera itu dengan menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kolonel, tetapi tidak dibenarkan masuk dan mereka kemudian melarikan diri.

“Kami sedang mengesan kedua-dua suspek. Kami belum pasti apa motif mereka dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kejadian tersebut tular dalam media sosial selepas suspek yang berpakaian seragam tentera itu dikatakan cuba masuk ke dalam kem dengan alasan mahu menemui beberapa pegawai tinggi tentera.

Bagaimanapun anggota tentera yang berkawal mengesyaki sesuatu kerana mendapati usia suspek yang masih muda tidak sepadan dengan pangkat sebagai kolonel.

Suspek juga gagal mengemukakan bukti bahawa mereka pegawai tentera selepas diminta berbuat demikian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×