Polis buru lelaki menyamar pegawai tentera berpangkat Kolonel - Utusan Malaysia

Polis buru lelaki menyamar pegawai tentera berpangkat Kolonel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN – Polis sedang memburu dua suspek lelaki yang didakwa cuba memasuki kem Batalion Kedua Rejimen 508 Askar Wataniah di sini dengan menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat Kolonel baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, laporan polis berhubung insiden yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada 8 Disember lalu itu dibuat oleh pihak tentera semalam.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat, dua lelaki cuba memasuki kem tentera itu dengan menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat Kolonel, tetapi tidak dibenarkan dan kemudian melarikan diri.

“Kami sedang mengesan kedua-dua suspek. Kami belum pasti apa motif mereka. Kes disiasat dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Maklumat yang tular di media sosial mendakwa suspek yang berpakaian seragam tentera itu gagal memasuki kem tersebut selepas dihalang oleh anggota yang bertugas mengawal pintu masuk kem berkenaan.

Suspek gagal mengemukakan bukti mereka pegawai tentera selepas anggota yang berkawal meminta mereka berbuat demikian kerana mendapati usia lelaki terbabit tidak sepadan dengan pangkat Kolonel pada pakaian tentera mereka.

Kedua-dua suspek membuat alasan mahu memasuki kem tentera itu bagi menemui beberapa pegawai tertinggi di kem tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN