Pertahan keuntungan ASB - Utusan Malaysia

Pertahan keuntungan ASB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMEGANG unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) menarik nafas lega apabila Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengagihkan pendapatan sebanyak 7.0 peratus iaitu dividen sebanyak 6.5 peratus seunit dan bonus 0.5 peratus seunit lagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berbanding 7.25 tahun lalu.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memaklumkan bahawa pencapaian tersebut mencerminkan prestasi kewangan PNB yang kukuh pada tahun ini di sebalik pasaran global dan domestik yang tidak menentu.

Pengagihan pendapatan dan bonus ASB tahun ini membabitkan jumlah anggaran pengagihan sebanyak RM10.7 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta pemegang unit saham menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dana dan bonus sebanyak RM143.1 bilion setakat ini sejak ia mula dilaksanakan sepenuhnya pada 1991.

Setakat 30 November 2018, ASB merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM8.99 bilion bagi tempoh 11 bulan pertama tahun kewangan dengan sebahagian besarnya diperoleh melalui dividen dan keuntungan modal pelaburannya.

Kadar hasil pulangan dividen ke atas ASB sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian banyak pihak terutamanya pelabur sendiri, PNB, syarikat yang dilabur dan institusi kewangan.

Selama beberapa tahun kebelakangan ini pemegang unit ASB memperoleh kadar dividen purata setiap tahun sekitar lapan peratus dan harganya seunit tetap RM1 sebagaimana yang dijamin kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Mengikut sejarah, skim pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN) ditubuhkan pada 1981 dengan harga tetap tanpa berubah pada nilai RM1 seunit yang keseluruhannya dijamin kerajaan ketika itu.

Kadar dividen yang dibayar lebih 10 peratus setiap tahun selama 10 tahun berturut-turut dan daripada tahun 1981 hingga 1990 sangat memberangsangkan.

Kedudukan ini mendorong ASNB membayar bonus khas yang agak lumayan kepada pemegang unit ASN pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 1990.

Pada tahun 1991 harga seunit ASN ditentukan mengikut harga pasaran saham semasa.

Pelaksanaan skim ASN ternyata berkesan dan menguntungkan pelabur sekaligus meningkatkan jumlah dana pelaburan Bumiputera dalam ekuiti saham sesebuah syarikat pelaburan berpotensi.

Oleh itu skim baharu yang dikenali sebagai ASB ditubuhkan bagi menggantikan ASN dan pelaksanaannya yang hampir sama dengan ASN tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur Bumiputera ketika itu.

Pembayaran dividen ASN pada kadar lebih 10 peratus setiap tahun menarik perhatian institusi kewangan seperti Maybank, Bank Bumiputera (M) Berhad, RHB Bank dan Bank Kerjasama Rakyat Berhad.

Institusi kewangan terbabit menawarkan skim pinjaman membeli ASN kepada pelaburnya dengan kerjasama ASNB yang bernaung di bawah PNB.

Cara ini mempercepatkan pertambahan jumlah unit ASB yang dipegang golongan Bumiputera dalam kalangan pelaburan pasaran saham.

Skim pinjaman ASB pula diteruskan institusi kewangan terbabit apabila pembayaran dividennya sentiasa kukuh dan berada pada tahap purata lapan peratus setiap tahun. Wang pelaburan skim ASB membantu ASNB dan PNB melaburkan dananya dalam syarikat berpotensi meraih keuntungan tahunan yang tinggi. Syarikat yang dilabur pula memperoleh dana kewangan lebih besar dan berjaya menjalankan perniagaan lebih besar.

Sehubungan itu pelaksanaan skim ASN dan ASB memberi manfaat kepada pelaburnya, ASNB dan PNB, syarikat yang dilabur serta institusi kewangan yang berkepentingan sekaligus membantu negara membangunkan sektor ekonomi yang menguntungkan rakyat semua kaum.

Oleh itu prestasi keuntungan pelaburan ASB perlu dipertahankan kerana terbukti ia menguntungkan banyak pihak termasuk kaum bukan Bumiputera yang tidak diberi peluang melabur dalam skim berkenaan.

Syarikat yang menerima dana pelaburan daripada ASNB dan PNB semakin berkembang dan turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan Bumiputera dan bukan Bumiputera di negara ini.

Bagi memberi manfaat kepada semua kaum di negara ini, PNB menubuhkan pula Amanah Saham Wawasan (ASW) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) yang membuka peluang pelaburan kepada semua kaum di negara ini.

Secara tidak langsung ia membuka peluang kepada semua kaum di negara ini tanpa melakukan sebarang diskriminasi dan peminggiran mana-mana kaum.

Sungguhpun ASNB dan PNB mempunyai tenaga kemahiran dalam bidang pelaburan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab besar membantu pertumbuhan pelaburan ASB dari aspek dasar pembangunan negara yang boleh menjamin keutuhan syarikat pelaburan yang sering digambarkan dalam prestasi indeks Bursa Saham Kuala Lumpur pada setiap hari.

Harga saham yang jatuh merudum di Bursa Malaysia turut memberi kesan kepada kadar pendapatan ASNB daripada syarikat yang dilabur dan akhirnya memberi kesan kepada pengagihan dividen kepada pemegang unit saham amanah.

Keuntungan syarikat pelaburan bergantung kepada keadaan ekonomi dunia dan domestik, insentif pelaburan kerajaan, kadar bayaran gaji buruh dan input barangan, pembangunan mega infrastruktur, dasar luar negara serta kestabilan politik.

DATUK AZMI ABDUL MALEK ialah bekas Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×