KUALA LUMPUR 4 Dis. – Prestasi kewangan institusi perbankan tempatan bagi tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2018 (3Q18), tidak memaparkan sebarang kejutan negatif walaupun pendapatan faedah bersih dan bukan faedahnya mengalami tekanan akibat ketidaktentuan pasaran.
Mengulas perkembangan itu, Penganalisis Kanan MIDF Amanah Investment Bank, Imran Yassin Yusof berkata, prestasi sektor perbankan juga berada dalam lingkungan unjuran dengan RHB melepasi jangkaan awal.
Beliau berkata, bank-bank yang beroperasi dalam Malaysia turut mencatat keputusan

memberangsangkan walaupun prestasi Maybank dan CIMB terjejas sedikit berikutan dedahan serantau di Indonesia.
Prestasi lebih baik itu kebanyakannya disebabkan oleh susut nilai yang rendah kerana kualiti aset sebahagian besar bank itu kekal kukuh, katanya.
“Pertumbuhan pinjaman juga memberangsangkan walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyederhana dengan segmen pengguna menjadi pemacu utama, didahului oleh segmen gadai janji.
“Perkembangan seperti pertumbuhan pinjaman yang positif ternyata menampung impak tekanan margin faedah bersih yang berpunca daripada persaingan deposit. Kita jangkakan aliran ini akan berterusan sehingga 2019,” katanya kepada Bernama.
Imran berkata, bagaimanapun tempoh pemantauan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (NFSR) sehingga 2020 akan dapat meredakan persaingan deposit manakala margin faedah bersih itu dijangka stabil pada 2019.
Jelasnya, momentum pendapatan juga diunjur dapat dikekalkan pada tahun depan, didorong oleh pertumbuhan pinjaman dalam segmen pengguna khususnya gadai janji.
Beliau menyifatkan ketidaktentuan yang menyelubungi dasar ekonomi Malaysia juga telah dapat ditangani susulan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 dan Belanjawan 2019.
“Tekanan terhadap pendapatan faedah bersih dan bukan faedah adalah dijangkakan berikutan ketidaktentuan pasaran (tempatan). Namun, selain faktor itu, sektor perbankan dijangka mencatat prestasi sepertimana diunjurkan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis yang enggan dikenali berkata, prestasi sektor perbankan bagi suku ketiga 2018 berkenaan adalah menepati jangkaan.
Menurutnya, peralihan dalam dasar domestik dan perdagangan luar didapati menjejaskan perolehan bank-bank, khususnya dari segi pendapatan berasaskan fi.
“Bank-bank ini secara amnya mencatat prestasi yang baik berikutan susut nilai yang lebih rendah daripada unjuran.
“Caj kredit dijangka meningkat susulan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS9) tahun ini. Namun, itu tidak berlaku kali ini,” katanya.
Jelasnya, sejajar sistem pinjaman mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus tahun ke tahun setakat September tahun ini, hanya CIMB, Bank Islam dan Ambank dapat melangkauinya. – BERNAMA
“Margin faedah bersih yang lebih tinggi ini akan menambah pendapatan faedah bersih dan mengimbangi kesan penyederhanaan pinjaman. Namun, pada masa ini, kebanyakan bank mengalami kesan margin faedah bersih akibat kos dana yang lebih tinggi.
“Berikutan (segmen) pinjaman yang menyederhana, pendapatan faedah bersih dalam kalangan bank turut berkurangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Ekuiti Malaysia Nomura Research, Tushar Mohata berkata, kebanyakan keputusan kewangan bank-bank itu adalah sama ada menepati jangkaan atau berkurangan daripada unjuran awal.
Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata impak KDNK yang lebih perlahan itu berkemungkinan dapat dilihat menerusi pertumbuhan pinjaman yang mungkin meningkatkan kos kredit.
“Bagaimanapun, kita kekal positif terhadap saham-saham Maybank, Public Bank, Ambank and CIMB,” katanya. – BERNAMA










